Jenayah rentas sempadan kini menjadi satu fenomena yang boleh menggugat keamanan, keselamatan individu dan juga negara. Jenayah seperti pencerobohan, penyeludupan senjata api, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan barangan termasuk ternakan dan haiwan liar sering berlaku di sempadan Malaysia. Jenayah ini melibatkan pergerakan individu yang merentasi sempadan negara.

Statistik menunjukkan sebanyak 10,125 tangkapan atas pelbagai jenayah rentas sempadan direkod hasil operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari Januari 2006 hingga Mac 2018. Tangkapan itu membabitkan 255,524 penggeledahan berkaitan kes meliputi penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan pendatang asing tanpa izin (PATI). Seramai 4,543 pesalah sudah dikenakan kompaun, 1,928 kes dibawa ke mahkamah dan 2,435 kes diserahkan kepada agensi berkaitan. Daripada jumlah itu, 1,033 PATI ditahan dan APMM berjaya mengutip hasil sebanyak RM307 juta melalui lelongan ikan, kompaun, pelupusan serta denda nelayan asing.

Sebab utama masalah ini berlaku adalah kerana kemiskinan dan kesempitan hidup di negara asal yang menyebabkan segolongan manusia yang naif dan kurang terpelajar ini dieksploitasi oleh segelintir individu yang tidak berperikemanusiaan. Selain itu, faktor perbezaan harga barangan di antara dua buah negara yang bersempadan juga menjadi faktor berlakunya kes-kes penyeludupan ini. Hal ini adalah kerana harga barang yang rendah di sesebuah negara membuatkan ada usaha membawa keluar dan masuk barangan berkenaan untuk dijual di negara jiran dengan harga yang tinggi. Sebagai contoh adalah harga beras di Thailand yang lebih rendah membawa kepada penyeludupan beras dari Thailand memasuki Malaysia.

Rokok seludup bernilai RM278,800 berjaya dirampas

Antara kes paling menyayat hati yang pernah berlaku di sempadan Malaysia-Thailand ialah penemuan 28 kem haram yang mempunyai kurungan dan 139 kubur mayat pelarian Rohingya dari Myanmar dan juga Bangladesh di Wang Kelian, Padang Besar pada Mei 2015. Mereka ini ialah mangsa pemerdagangan manusia yang dijanjikan pekerjaan dan kehidupan di Malaysia oleh sindiket yang tidak bertanggungjawab.

Pada 18 September 2018, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor telah berjaya menumpaskan cubaan beberapa lelaki untuk menyeludup rokok putih bernilai RM278,800 ke Thailand. Malahan, Polis Marin Diraja Thailand juga telah mengenalpasti 19 lokasi ‘panas’ yang sering menjadi tumpuan penyeludup di negara berkenaan. Kesemua lokasi itu membabitkan kawasan di sepanjang Sungai Golok bermula Kuala Takbai sehingga Buketa.

Operasi Penguatkuasaan dilaksanakan PPM di Perairan Semporna

Malaysia juga merupakan sebuah negara yang berada tidak jauh dari kawasan pengeluaran dadah Segi Tiga Emas yang bersempadan dengan Myanmar, Thailand dan Laos. Oleh itu, kes penyeludupan dadah melalui sempadan juga harus ditangani dengan lebih menyeluruh untuk mengelakkan Malaysia daripada menjadi pusat transit kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa. Pada Mac 2018, pihak berkuasa Thailand telah berjaya menahan dua rakyat Malaysia kerana disyaki cuba mengambil bekalan dadah sebanyak 700 kilogram (kg) syabu dari negara berkenaan untuk diseludup masuk ke Malaysia melalui sempadan di utara tanah air. Kedua-dua suspek itu berjaya ditahan di Hatyai.

Sebagai langkah untuk mencegah masalah ini supaya tidak menjadi parah, pihak kerajaan perlu merumuskan satu rangka kerja keselamatan di sempadan yang menggariskan dasar dan strategi keselamatan dan kawalan sempadan yang teratur dan berkesan. Strategi keselamatan dan pengawalan sempadan negara harus menghasilkan satu pelan tindakan yang sistematik dan efisien serta boleh dinilai dari segi keberkesanan dan prestasinya.

Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan juga disarankan supaya mengadaptasikan sistem penggiliran untuk pasukan keselamatan dan penguatkuasa yang bertugas di sempadan bagi mengelakkan mereka daripada dipengaruhi untuk menerima sogokan serta menghindari ancaman sindiket atau tekanan mana-mana pihak. Tugas anggota pasukan keselamatan dan penguatkuasa di sempadan juga termasuk dalam kategori jawatan sensitif dan mereka tidak harus dibiarkan bertugas di sempadan dalam jangka masa yang lama. Oleh itu, kerajaan perlu memandang serius agar sempadan negara kita yang merupakan lubuk penyeludupan dadah terutamanya diperketatkan supaya kredibiliti keselamatan negara tidak terancam dan dipertikaikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here