Penyeludupan rokok dan arak di Malaysia bukanlah suatu hal yang baru, malah jenayah ini dilihat seakan tidak berhenti dan tidak akan sesekali menemui jalan akhirnya. Saban hari pasti akan ada berita atau liputan mengenai rampasan penyeludupan arak dan rokok sehingga jutaan ringgit yang dilakukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM).

Mengapa jenayah ini menjadi pilihan dan trend? Mudah sahaja, kerana hasil yang lumayan dan penggunaan modal yang tidak tinggi serta tiada sebarang cukai yang dikenakan. Jangan terkejut sekiranya dikatakan aktiviti penyeludupan ini menjadi sasaran di kalangan kartel dadah. Hal ini kerana, kerja penyeludupan ini agak mudah dan mampu menghasilkan pendapatan lumayan. Sebagai contoh, produk tembakau yang menghasilkan rokok seludup mampu mendatangkan keuntungan sebanyak lebih RM2 juta. Jika dihitung secara keseluruhan, ia telah mengakibatkan Kerajaan Malaysia mengalami kerugian sehingga RM5.1 bilion setahun.

Aktiviti penyeludupan arak dan rokok semakin berleluasa hari demi hari

Jika dilihat, aktiviti penyeludupan arak dan rokok ini semakin menjadi-jadi kerana masih terdapat kelemahan dalam pengawasan pihak berkuasa di pintu-pintu masuk sempadan antara Malaysia dan negara-negara jiran. Hal ini kerana sering sahaja berlaku kejadian penjenayah berjaya meloloskan diri bersama-sama barang yang diseludup dengan begitu mudah. Ini seolah-olah menggambarkan apa yang dilakukan mereka mendapat “restu” pengawal pintu sempadan tanpa diketahui bahawa ia merupakan jenayah terancang yang boleh disiasat mengikut Seksyen 135, Akta Kastam 1967.

Sekiranya jenayah ini tidak dikekang, ia akan memberi kesan terhadap ekonomi Malaysia khususnya terhadap pungutan cukai. Ini kerana kerajaan mengenakan pelbagai cukai kepada setiap barangan yang dibawa masuk sebagai sebahagian daripada pendapatan negara. Bukan itu sahaja, ia juga turut memberi kesan terhadap pembekal-pembekal yang sah. Mereka akan mengalami kerugian yang besar akibat pengguna membeli barangan seludup dengan harga yang jauh lebih murah.

Dalam hal ini, agensi penguatkuasaan haruslah memainkan peranan yang lebih jitu dalam menangani jenayah penyeludupan arak dan rokok. Walaupun pelbagai serbuan dijalankan dan ada di antaranya berjaya dipatahkan dan melibatkan nilai rampasan berjuta ringgit, ini belum bermakna jenayah ini berakhir begitu sahaja. Agensi penguatkuasaan yang berkaitan haruslah bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi merangka strategi untuk menjamin keselamatan di pintu masuk sempadan.

Penggunaan produk seludup boleh mengundang pelbagai penyakit, antaranya kanser

Di samping itu, agensi penguatkuasaan juga perlulah menjalankan kempen anti penyeludupan kepada masyarakat awam. Hal ini boleh dibuktikan sekiranya ada kerjasama di antara pihak penguasa dan orang awam dalam menyalurkan informasi mengenai kegiatan penyeludupan yang berlaku di kawasan mereka. Wujudkan satu platform sama ada laporan secara terus melalui portal dan tindakan segera boleh diambil.

Justeru, pengawasan dan pemantauan oleh pasukan penguatkuasaan dalam menangani jenayah penyeludupan ini harus diperketatkan demi menjamin keselamatan negara dan rakyat secara khususnya. Oleh itu, peranan semua pihak amat diperlukan demi untuk mengekang jenayah penyeludupan ini dari merebak lebih luas lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here