Suatu ketika dahulu, amat payah bagi kita sebagai orang Islam untuk mencari barangan dan produk yang dikeluarkan oleh syarikat Bumiputera. Ini kerana pasaran terhadap produk-produk tersebut yang sangat terhad dan ditambah lagi dengan keengganan syarikat-syarikat pemasaran di negara ini untuk mempromosi dan memasarkan produk-produk Muslim kerana dikhuatiri akan mendatangkan kerugian yang besar.

Namun pada hari ini kita dapat melihat produk keluaran Muslim dan Bumiputera seakan sudah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Hal ini disebabkan oleh kempen mengutamakan produk Muslim yang dilancarkan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam dengan tujuan untuk membantu menaiktaraf ekonomi umat Islam selain membantu para pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) bagi memasarkan produk mereka.

Kempen Beli Produk Muslim oleh Ummah berjaya menarik perhatian ramai pengguna

Selain itu, kempen ini juga turut mendapat sambutan dek kerana sudah terdapat lambakan produk-produk yang diragui status halalnya pada hari ini selain umat Islam di negara ini juga sudah sedar akan kepentingan untuk menjaga segala batas halal dan haram dalam pengambilan sesuatu produk kerana ia juga melibatkan soal kesihatan selain ianya dituntut dalam al-Quran.

Sejauh mana keupayaan produk Muslim ini dapat menandingi produk antarabangsa? Masih terlalu awal untuk meletakkan satu penanda aras di antara kedua-dua produk. Hal ini kerana kebanyakan produk-produk keluaran Muslim masih lagi berada pada tahap percubaan dan masih lagi ‘bertatih’ untuk mendapatkan tempat di hati rakyat Malaysia.

Akan tetapi, ia sedikit demi sedikit sudah mula dikenali dan dipasarkan secara meluas kerana usaha kerajaan dalam mengadakan pelbagai ekspo berkaitan dengan produk yang diasaskan oleh orang Islam, sebagai contoh Halal Fest. Jadi, tidak mustahil produk-produk keluaran Bumiputera dan Muslim ini akan berdiri sama tinggi dengan produk jenama antarabangsa dan pada ketika itu, rakyat khususnya umat Islam mempunyai banyak pilihan dalam perbelanjaan ke atas produk-produk Muslim.

Walau bagaimanapun, sudah terdapat beberapa jenama produk keluaran Bumiputera Islam yang sudah berjaya menempatkan nama mereka di pasaran antarabangsa. Antaranya kicap jenama Habhal atau lebih dikenali dengan nama kicap kipas udang yang dikeluarkan oleh Zara Foodstuff Industries. Antara negara-negara yang berjaya ditembusi adalah Singapura, Brunei, Filipina, Kanada, Australia, Arab Saudi dan United Kingdom termasuk Nigeria. Satu lagi produk jenama yang popular yang di kalangan para pelancong Malaysia, Brahim’s. Jenama ini bukan sahaja berjaya menawan pasaran Asia Tenggara, malah ia juga berjaya menerobos ke dalam pasaran Eropah.

Jenama Brahim’s antara jenama Bumiputera Muslim yang berjaya mendapat pasaran besar di luar negara

Apa kelebihan yang bakal diperolehi daripada potensi produk-produk Muslim ini? Banyak, cukup banyak. Salah satunya sudah tentu ia akan membawa kesan positif kepada limpahan ekonomi yang lebih luas. Hal ini kerana ia akan banyak membantu usahawan IKS dan luar bandar serta menjadikannya lebih berdaya saing selain memberikan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat terutama golongan belia yang kini ramai tidak berpekerjaan.

Selain itu, ia juga membawa kepada kitaran ekonomi ummah (termasuk bukan Islam) yang lebih progresif umpamanya dalam hal zakat, sedekah, waqaf dan seumpamanya. Hal ini akan merancakkan ekonomi negara kerana adanya sumbangan daripada dua pihak (Islam dan bukan Islam).

Justeru, langkah untuk mengutamakan produk keluaran Muslim dan Bumiputera ini dilihat sebagai langkah yang proaktif daripada semua pihak dalam membantu meningkatkan ekonomi umat Islam di negara ini. Malaysia mempunyai majoriti penduduk yang beragama Islam lebih banyak daripada agama minoriti. Oleh itu, wajarlah sekiranya produk-produk keluaran Muslim perlu diberi keutamaan kerana umat Islam amat menitikberatkan soal sumber daripada bahan atau produk yang dikeluarkan. Selaras dengan tuntutan agama, daripada surah al Baqarah ayat 168:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here