Hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan arahan larangan penjualan air zam-zam di seluruh negara berkuatkuasa serta-merta. Hal ini mendatangkan kritikan hebat dari seluruh warga alam maya terhadap Kerajaan Malaysia mengenai arahan larangan tersebut.

Namun, apa yang tidak diketahui umum ialah arahan larangan tersebut telah dikuatkuasakan semenjak dari tahun 2012 apabila Kedutaan Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan kenyataan rasmi melarang penjualan air zam-zam di mana-mana kedai termasuklah kedai-kedai buku di seluruh Malaysia. Oleh itu, arahan tersebut diteruskan oleh KKM sebagaimana yang dipersetujui bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam membanteras penjualan air zam-zam secara haram.

Kenyataan dari Kedutaan Kerajaan Arab Saudi mengenai larangan penjualan air zam zam di Malaysia.

Mengapa penjualan air zam-zam merupakan satu kesalahan? Kerana air zam-zam merupakan air mineral semula jadi tulen dan sudah dikategorikan di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Sebarang pemerdagangan melibatkan produk tersebut harus mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa hidologi dan geologi Arab Saudi sebelum diserahkan kepada KKM yang dilihat agak sukar untuk dilaksanakan.

Selain itu, ia juga dilihat sebagai satu kesalahan apabila ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab cuba ‘mengklonkan’ air tersebut dan digantikan dengan air biasa sahaja. Ini jelas merupakan satu kesalahan besar dan tidak mustahil dapat membahayakan nyawa pengguna berikutan tiada jaminan kebersihan terhadap produk tersebut.

Tidak hanya berlaku di Malaysia malah di Arab Saudi sendiri terjadinya hal tersebut apabila pihak berkuasa negara itu menyerbu sindiket pembungkusan ‘air zam-zam’ yang digantikan dengan air mineral biasa untuk tujuan pengeksportan ke luar negara termasuk Malaysia. Sekiranya didapati bersalah, individu yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (f) Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun.

Video memaparkan pihak berkuasa Arab Saudi mematahkan sindiket pembungkusan air zam zam di Mekah

Dalam perkara ini, masyarakat Malaysia harus mengetahui bahawa arahan larangan penjualan air zam-zam ini dikeluarkan adalah bagi menjamin mutu kebersihan dan juga kesucian air tersebut. Ini kerana terdapat segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan melalui cara ‘tunggangan’ agama dengan penjualan air zam-zam tiruan. Ini sedikit sebanyak mencalarkan imej Kerajaan Arab Saudi dan seterusnya mengganggu gugat hubungan diplomasi di antara negara ini dan negara padang pasir tersebut.

Walau bagaimanapun, kerajaan disarankan untuk mencari solusi lain seperti mengadakan rundingan bersama pihak kedutaan Arab Saudi berhubung pembekalan air zam-zam ke negara ini untuk tujuan kebaikan khususnya perubatan alternatif Islam melalui JAKIM. Ini bagi memastikan kesucian bahan mineral tersebut kekal terpelihara dari sebarang pencemaran dan juga pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memasarkan produk tersebut secara haram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here