Jurang kekayaan rakyat Malaysia kini telah mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad yang menganggap ianya boleh menjadi malapetaka jika tidak ditangani dalam jangka masa panjang. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia pula, mereka sering merasakan yang ‘kaya akan semakin kaya dan yang miskin semakin miskin’. Perkara ini dibuktikan melalui 2018 Pew Global Survey yang menyatakan 77% rakyat Malaysia merasakan jurang pendapatan merupakan satu masalah besar di Malaysia.

Institusi Penyelidikan Khazanah (KRI) memberikan contoh dimana pendapatan golongan berpendapatan tinggi meningkat 2 kali ganda daripada RM10,000 pada tahun pertama kepada RM20,000 pada tahun kedua manakala pendapatan golongan miskin meningkat lebih laju daripada RM1,000 kepada RM3,000. Walau bagaimanapun, jurang perbezaan antara golongan berpendapatan tinggi dan miskin ini telah meningkat dari RM9,000 kepada RM17,000.

Jika perbezaan jurang kekayaan dan kemiskinan rakyat Malaysia tidak diseimbangkan, ia boleh memberi kesan kepada perpaduan rakyat Malaysia khususnya melibatkan kaum. Pada tahun 2012, purata pendapatan orang Melayu ialah RM4,457, sementara kaum Cina RM6,366 dan kaum India RM5,233. Malah, perbezaan jurang ekonomi ini telah membuat persepsi dengan melabelkan sesetengah kaum lebih kaya daripada lain.

Tun Mahathir menganggap jurang kekayaan rakyat boleh menjadi malapetaka jika tidak diatasi

Apabila perkara ini terjadi, ia akan mengakibatkan diskriminasi kaum dalam tempat kerja di mana sesetengah majikan hanya akan mengambil pekerja dari kaum mereka sahaja supaya dapat membantu ekonomi masing-masing. Akhirnya, syarikat besar yang menawarkan gaji tinggi diberikan kepada sesetengah kaum sahaja dan akan berlaku peningkatan jurang ekonomi berlainan kaum.

Perkara inilah yang diibaratkan oleh Tun Mahathir sebagai perkara ‘bahaya’ kerana persepsi sebegini tidak akan menguntungkan negara dan boleh menimbulkan perpecahan kaum. Kerana itulah, setiap syarikat serta majikan perlu membuang kriteria pekerjaan yang hanya mengkhususkan setiap kaum. Kekayaan tidak boleh diutamakan untuk kaum masing-masing sahaja dan seharusnya diagihkan secara saksama dengan semua kaum .

Oleh kerana itu, perseimbangan ekonomi amat penting untuk memastikan jurang kekayaan ini tidak terlalu jauh bagi mengelakkan situasi ‘kaya semakin kaya, miskin semakin miskin’. Situasi ini telah terjadi di beberapa negara seperti India, Indonesia, Myanmar dan lain-lain hingga menyebabkan rakyat mereka berhijrah ke negara luar. Rakyat Malaysia perlu mencari peluang untuk meningkatkan ekonomi masing-masing seperti perniagaan atau perkhidmatan supaya ianya berkembang di setiap kawasan sama ada bandar atau luar bandar.

Rakyat Malaysia perlu mengelakkan persepsi ‘kaya semakin kaya, miskin semakin miskin’

Kerana itulah, kerajaan telah menyuarakan kepentingan untuk merapatkan jurang kekayaan rakyat bagi memastikan setiap kekayaan di negara ini dapat dikongsi oleh semua kaum. Peluang pekerjaan tidak boleh ditawarkan kepada kaum masing-masing sahaja dan rakyat Malaysia perlu mencari alternatif untuk melibatkan diri dalam pelbagai sektor supaya dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Segala persepsi negatif seperti Melayu untuk Melayu, Cina untuk Cina, India untuk India dan Bumiputera untuk Bumiputera tidak boleh digunakan lagi kerana rakyat Malaysia perlu bersatu dalam usaha menjadi negara maju. Jurang kekayaan yang terlalu tinggi akan merencatkan pembangunan ekonomi negara dan tidak akan menguntungkan sesiapa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here