Siapa sangka bahawa aktiviti mengemis boleh menjadi kerjaya yang membawa hasil lumayan, malah membolehkan pengemis merantau ke serata dunia secara mewah melalui wang pemberian orang ramai? Itu antara situasi semasa yang berlaku di Malaysia pada hari ini. Ya! Pengemis antarabangsa menjadikan negara ini sebagai ‘syurga’ bagi mengaut keuntungan dengan hanya berbekalkan cawan kertas buruk dan pakaian lusuh hanya untuk meraih simpati.

Jangan terkejut jika dikatakan sebilangan besar daripada mereka secara automatiknya telah menjadi ‘warganegara’ di negara ini dan mempunyai waktu dan tempat tertentu untuk menjalankan aktiviti mereka, malah pendapatan seharian mereka dianggarkan berjumlah RM2,000.00 hingga RM5,000.00 sehari dan ada juga di antara mereka diuruskan oleh kumpulan sindiket pemerdagangan manusia yang mengambil kesempatan.

Bagaimana modus operandi mereka dijalankan? Sebenarnya mereka mempunyai seribu satu cara untuk mengemis dan mengaut keuntungan di negara ini. Pelbagai modus operandi yang dijalankan oleh mereka dan antaranya adalah berjalan dari satu rumah ke satu rumah di taman-taman perumahan dengan memberi salam. Apabila pemilik rumah membuka pintu, maka mereka akan merayu sedikit bantuan dengan alasan belum makan ataupun anak sakit. Jadi, pemilik rumah tidak mempunyai pilihan selain terpaksa memberi duit sedekah dan mereka tidak akan berganjak selagi wang derma tidak diberikan.

Benjamin Holst, pengemis antarabangsa dari Jerman yang memilih Malaysia sebagai destinasi mengemis demi untuk keseronokan

Selain itu, pengemis antarabangsa ini juga menyasarkan para pengunjung di sekitar kompleks membeli-belah terkemuka antaranya SOGO, Bukit Bintang, Pasar Seni dan masjid-masjid sekitar ibu negara untuk menjalankan aktiviti mengemis. Biasanya mereka akan menggunakan pelbagai helah seperti dirompak, tidak cukup perbelanjaan dan kekurangan matawang ringgit untuk ke kedutaan bagi membuat laporan. Namun, itu hanyalah sekadar ‘trick’ bagi mereka mengaut keuntungan dan seterusnya berbelanja mewah di negara ini.

Mengapa mereka lebih suka memilih Malaysia sebagai destinasi ‘kerjaya’ mereka? Kerana orang Malaysia lebih pemurah dan baik hati berbanding negara lain, jawapan yang simple tetapi memberi kesan. Jadi, mudah bagi mereka untuk menjalankan aktiviti mengemis tanpa dikesan sedang melakukan penipuan. Mungkin faktor lainnya orang Malaysia ‘tak banyak songeh’, mereka sekadar memberi dan berlalu begitu sahaja tanpa menyoal secara teliti berkenaan peribadi mereka. Oleh itu, amat mudah bagi mereka untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

Dalam isu ini, pelbagai langkah telah dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengatasi masalah berikut. Namun, ia menjadi tidak terkawal akibat kebanjiran warga asing yang menyeludup masuk ke dalam negara ini. Banyak usaha yang dijalankan seperti mengadakan operasi membanteras pengemis haram dan sebagainya, tetapi ia akan berulang kembali dalam tempoh sebulan atau dua bulan kemudian.

Pelbagai modus operandi yang dilakukan oleh pengemis hanya untuk menagih simpati

Oleh itu, langkah yang boleh disarankan kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa dalam membendung jenayah ini adalah dengan sentiasa melakukan pemantauan di sekitar ibu negara. Kenal pasti ‘hotspot’ para pengemis antarabangsa dan segera bertindak sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.

Di samping itu, pihak berkuasa juga harus menyediakan platform untuk orang ramai menyalurkan maklumat berkenaan dengan pengemis antarabangsa ini. Dengan cara itu, ia memudahkan lagi tugas pihak berkuasa dalam menjalankan operasi apabila adanya kerjasama daripada orang awam berhubung gejala ini.

Justeru, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menghentikan amalan memberi derma kepada sumber yang tidak sahih. Jangan jadikan golongan ini sebagai “jutawan selekeh” yang bermaharaja lela di tanah air sendiri. Kerjasama dengan pihak berkuasa amatlah penting dalam memelihara keamanan dan keharmonian negara daripada pandangan jelek seumpama itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here