Sebaik sahaja Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru, sudah tentu barisan kabinet juga akan berwajah baru. Hal ini terjadi selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri maka secara tidak langsung barisan kabinet sebelum ini tidak mampu berfungsi seperti biasa.

Datuk Seri Ismail Sabri telah mempersembahkan senarai nama anggota Jemaah Menteri yang baru kepada YDP Agong dan telah diperkenankan oleh baginda. Perdana Menteri berkata, senarai Kabinet yang telah dipilih itu adalah daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini, mampu membantu negara memulihkan semula ekonomi dengan menyokong usahawan, memudahcarakan perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meyakinkan golongan pelabur.

Barisan kabinet yang telah dilantik juga telah diberikan jaminan oleh YAB Perdana Menteri untuk mereka membuktikan pencapaian mereka di dalam masa 100 hari pertama sebagai KPI kepada kerajaan yang baru ditubuhkan ini. Oleh itu, sudah pasti kita mampu untuk melihat dan menilai bagaimanakah prestasi yang akan ditunjukkan oleh barisan Jemaah Menteri yang baru ini nanti agar mereka dapat terus fokus kepada misi memulihkan semula negara ini.

Secara keseluruhannya kabinet yang baru dibentuk ini tidak jauh berbeza dengan kabinet sebelum ini namun ada beberapa menteri yang telah ditukarkan kepada portfolio yang baru antaranya adalah pertukaran portfolio di antara Menteri Kesihatan dan juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dimana Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah dilantik menjadi Menteri Kesihatan yang baru manakala Datuk Seri Dr Adham Baba akan mengambil alih tugas sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Tiada apa yang perlu kita ragukan terhadap barisan kabinet baru ini kerana jika kita menilai prestasi mereka sebelum ini semuanya telah memberikan perkhidmatan yang amat baik kepada rakyat dan negara kita. Keyakinan yang telah diberikan oleh YDP Agong kepada senarai baru kabinet ini juga telah menunjukkan bahawa kewibawaan mereka semua telah mendapat kepercayaan penuh daripada baginda. Ini bermakna kabinet ini adalah “Kabinet Tuanku” dan tidak perlu kita pertikaikan lagi. Kekal tenang dan bersabar agar kepimpinan dan juga kerajaan yang baru ditubuhkan ini dapat menunjukkan satu pencapaian yang membanggakan buat kita semua.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here