Sejak kebelakangan ini, ada sahaja berita-berita jenayah yang melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Selain itu, ada di antara mereka yang terlibat dengan pelbagai jenayah termasuklah jenayah berat yang menjadi kebimbangan masyarakat tempatan. Berdasarkan kes-kes terdahulu, boleh dikatakan majoriti individu yang menjadi mangsa jenayah mereka adalah warga tempatan. Fenomena ini dilihat semakin kritikal kerana keselamatan rakyat semakin terancam.

Kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital bulan lalu yang melibatkan warga asing sudah cukup menggemparkan negara. Kini, satu lagi kes jenayah pembunuhan pemandu Grab oleh warga asing menjadi bualan hangat netizen apabila mangsa dibunuh selepas disamun. Ini membuktikan bahawa kebanjiran PATI dan warga asing di Malaysia semakin mengancam keselamatan penduduk setempat.

Tekanan dalam menyara kehidupan di Malaysia mungkin menjadi salah satu punca mengapa mereka cenderung untuk melakukan jenayah terutamanya bagi kes samun dan rompak. Kos sara hidup yang tinggi dan ketidakmampuan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup di negara orang menjadi penyebab yang menyumbang kepada tindakan ini.

Trend kemasukan warga asing ke malaysia terus meningkat

Selain itu, sikap masyarakat kita yang mudah terpedaya dengan warga asing juga menjadi salah satu faktor berlakunya jenayah warga asing. Pada kebiasaannya, mereka gemar menggunakan kaedah dengan menawarkan habuan-habuan lumayan kepada warga tempatan bagi memperdayakan mangsa terutamanya bagi kes-kes dadah dan penipuan wang. Oleh itu, masyarakat sendiri perlu lebih berhati-hati dan teliti dalam mempercayai mana-mana warga asing.

Sementara itu, adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kawalan dan pemantauan warga asing yang agak longgar terutamanya kemasukan mereka secara tidak sah sehingga mereka semakin berani untuk melakukan jenayah di negara ini. Jika dilihat, isu warga asing dan PATI ini hanya hangat diperkatakan apabila terdapat sesuatu kes terjadi sahaja. Namun, setelah keadaan semakin reda masih tiada pihak yang mengambil serius dalam menangani isu ini bagi mencegah kejadian sama berulang. Keadaan ini juga akan menyebabkan mereka mengambil kesempatan untuk terus melakukan jenayah.

Sementara itu, kebanjiran PATI di negara ini bukanlah isu baharu namun sehingga kini ia masih berlarutan sehingga mampu mengancam keselamatan negara. Malaysia menjadi tumpuan rakyat pelbagai negara sebagai lubuk mencari pekerjaan pelbagai sektor. Oleh itu, adalah penting untuk pihak berkenaan mengambil langkah serius dalam mengambil tindakan dalam mengatasi masalah ini.

Lambakan warga asing memberi kesan kepada keselamatan negara

Sehubungan itu, pihak kerajaan dan pihak berkuasa perlu bekerjasama dalam mencari langkah terbaik untuk mengatasi isu ini dengan segera. Sebagai contoh, kawalan kemasukan warga asing perlulah dilakukan secara tegas demi menjaga keselamatan rakyat. Walaupun, keperluan tenaga warga asing adalah tinggi tetapi untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin, satu tindakan drastik perlu dilakukan.

Secara keseluruhannya, masalah keselamatan ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak berkuasa malah, semua masyarakat dan pelbagai pihak lain juga perlu memainkan peranan masing-masing bagi menjaga kesejahteraan negara. Kerajaan juga seharusnya sudah mula melakukan gerakan bersepadu dan komprehensif bagi mengelakkan kedaulatan negara terjejas akibat daripada kemasukan warga asing tanpa kawalan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here