Tenaga boleh diperbaharui ialah tenaga yang dijana daripada sumber semula jadi seperti cahaya suria, angin, hujan, ombak dan geoterma yang boleh diperbaharui secara semulajadi. Teknologi-teknologi tenaga boleh diperbaharui termasuklah kuasa suria, hidroelektrik, biojisim dan bahan bakar bio. Hampir semua tenaga ini digunakan untuk menjana sumber elektrik dan lebih bersifat teknologi hijau.

Malaysia adalah sebuah negara yang berpotensi untuk projek menjana tenaga suria kerana faktor geografinya yang menerima pancaran cahaya matahari selama enam jam sehari dan tenaga ini adalah percuma serta menyeluruh. Di Malaysia, projek menjana tenaga suria telah dibina di Teluk Apan di Pulau Langkawi dan Kampung Hulu Tembeling di Pahang. Tenaga suria banyak digunakan di kawasan pedalaman untuk mendapatkan bekalan elektrik dengan menggunakan panel Solar PV. Penduduk di kawasan pedalaman Sarawak juga dapat menikmati bekalan elektrik dengan adanya kemudahan solar. Selain itu, tenaga suria ini juga membekalkan tenaga untuk alat perhubungan telefon awam seperti di Pulau Aman dan kawasan pedalaman Sarawak.

Selain tenaga suria, tenaga hidro juga adalah tenaga yang amat penting sebagai salah satu sumber tenaga yang diperbaharui. Tenaga hidro digunakan sebagai bekalan air, kawalan banjir, pengairan dan tujuan rekreasi. Malaysia adalah negara yang berpotensi untuk menjana tenaga hidro kerana melalui tenaga hidro inilah terjadinya hidroelektrik. Antara tempat penjanaan kuasa hidroelektrik ialah di Empangan Chenderoh dan Empangan Bakun. Kuasa hidroelektrik ini sesuai digunakan kerana mudah diperbaharui, tidak habis, murah dan bersih serta tidak mencemarkan alam sekitar.

Sebahagian sumber tenaga boleh diperbaharui antaranya tenaga solar, biomass, kuasa hidroelektrik, hybrid solar, biogas dan lain-lain

Di samping itu, ombak juga merupakan salah satu sumber tenaga alternatif yang boleh dibangunkan untuk penjanaan tenaga elektrik. Hampir keseluruhan negeri di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Pantai Timur iaitu Sabah dan Sarawak dikelilingi oleh laut. Tenaga ombak boleh digunakan untuk penduduk-penduduk yang tinggal di pesisir pantai dan juga untuk operasi pelabuhan-pelabuhan di dalam negara untuk menjana elektrik.

Manakala tenaga biomass pula boleh diperolehi daripada hampas kelapa sawit. Sisa pertanian itu menghasilkan biogas seperti metana sebagai bahan pembakar untuk tujuan memasak. Tenaga ini sesuai digunakan kerana terdapat banyak ladang kelapa sawit di Malaysia dan menghasilkan 8.5 juta tan sisa buangan buah kelapa sawit yang dapat menghasilkan dua juta tan minyak (metana). Penggunaan tenaga biomass ini semakin meluas digunakan di seluruh negara kerana ia menjimatkan sumber tenaga dan murah serta berpotensi untuk mengurangkan penggunaan sumber tenaga fosil yang semakin berkurangan.

Jelas sekali, sumber tenaga yang boleh diperbaharui ini mampu mengatasi masalah krisis penjanaan tenaga serta menjamin kestabilan ekonomi negara. Sebagai contoh, penjanaan tenaga solar dapat dijana pada sebelah pagi, petang dan kemudiannya boleh disimpan untuk digunakan pada waktu malam. Ia boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lampu tiang yang banyak terdapat di Malaysia. Hal ini sudah pasti menunjukkan penjanaan dan penggunaan tenaga elektrik boleh dijana pada tahap yang optimum.

Penjimatan Tenaga, Kecekapan Tenaga dan Sumber Tenaga Yang Boleh Diperbaharui

Selain itu, penjanaan kuasa hidroelektrik mampu meningkatkan pendapatan dengan menghasilkan dan menjual tenaga yang diperbaharui termasuk pengeluaran gas cecair hydrogen bagi kegunaan pengangkutan awam. Pada masa yang sama, banyak peluang pekerjaan boleh diwujudkan daripada industri berasaskan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria, hidroelektrik dan sebagainya. Ini dapat dilihat di negara Kesatuan Eropah (EU), China, Jepun, dan Amerika Syarikat (AS) yang telah meneroka dan mengguna pakai teknologi ini.

Justeru itu, Malaysia sebenarnya mempunyai kemampuan dari segi sumber dan modal insan untuk membangunkan tenaga yang boleh diperbaharui bagi menggantikan sumber yang sedia ada. Dengan memanfaatkan peluang dan kekuatan yang dimiliki melalui penumpuan terhadap tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga angin, solar, hidro dan juga biomass, Malaysia mampu menjadi contoh kepada negara lain dalam menghadapi krisis tenaga yang semakin meruncing. Oleh itu, pembangunan teknologi tenaga yang boleh diperbaharui adalah penting agar krisis tenaga ini dapat diatasi dengan efektif dan produktif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here