Kerajaan disaran mengkaji semula langkah menggabungkan kesalahan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dengan Sistem Mata Dimerit di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) kerana ia dikhuatiri membebankan rakyat dan menganiaya pesalah lalu lintas. Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, berkata beliau tetap dengan pendiriannya supaya kajian itu harus dilakukan kerana penggabungan kesalahan itu menganiaya pesalah dengan memberi hukuman dua kali ganda kepada mereka.

Melalui AWAS, selain disaman dan perlu membayar kompaun atau dihadapkan ke mahkamah, mata dimerit akan dipotong sehingga mengakibatkan pengguna boleh dibatalkan lesen memandu jika mendapat lebih daripada 100 mata dimerit. Selain itu, pelaksanaan AES yang sedia ada lebih banyak dipasang di kawasan jalan lurus, selain tidak pernah ada rekod menunjukkan berlaku banyak kemalangan maut di tempat berkenaan. Antara alasan terhadap pengenalan dan pelaksanaan AES ialah mengurangkan kemalangan maut dan meningkatkan pematuhan undang-undang dalam kalangan pengguna. Malangnya pemasangan kamera had laju AES lebih kepada bertujuan menjerat pengguna jalan raya dan memberi keuntungan kepada syarikat konsesi mengaut keuntungan melalui saman yang dikeluarkan.

Pesalah trafik dihukum dengan membayar denda oleh mahkamah atau kompaun tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2000 di bawah AES

Tindakan kerajaan mahu menggabungkan hukuman kesalahan trafik antara AES dan AWAS akan membebankan rakyat. Rakyat terpaksa membayar lebih ke atas denda yang dikenakan. Ini kerana pesalah trafik dihukum dengan membayar denda oleh mahkamah atau kompaun tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2000 di bawah AES dan kedua mereka akan digantung lesen memandu di bawah AWAS apabila mencapai 60 mata dimerit. Namun jika kerajaan mahu melaksanakannya juga, hanya hukuman AWAS sahaja dilaksanakan iaitu sistem mata dimerit yang membawa penggantungan lesen memandu dan boleh ditambah dengan hukuman khidmat sosial. Selain daripada saman di bawah AES, Malaysia mempunyai saman daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPJ dan majlis-majlis daerah di setiap negeri.

Di sebalik isu penggabungan sistem AES dan AWAS, masalah sebenarnya adalah penguatkuasaan keselamatan trafik di negara ini tidak mencukupi. Kerajaan haruslah mempunyai perancangan yang teliti bagi memastikan pengguna-pengguna jalan raya di negara ini supaya mematuhi setiap peraturan jalan raya yang dibuat.

Pesalah akan digantung lesen memandu di bawah AWAS apabila mencapai 60 mata dimerit.

Antara kaedah-kaedah yang boleh digunakan oleh kerajaan dalam menguatkuasakan undang-undang trafik adalah dengan menaikkan had umur untuk rakyat Malaysia mengambil lesen memandu daripada 18 tahun kepada 21 tahun. Ini kerana banyak kemalangan maut yang terjadi pada hari ini melibatkan golongan muda.

Selain itu, kerajaan juga boleh menggubal satu akta kepada pesalah-pesalah trafik ini dengan membatalkan lesen mereka secara automatik melalui sistem di bawah seliaan JPJ jika mereka mempunyai lebih daripada tiga saman kesalahan berat lalu lintas. Jika mereka ditangkap semasa sedang memandu dengan lesen yang dibatalkan, hukuman penjara maksimum 3 hingga 5 tahun akan dikenakan kepada mereka.

Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia kita perlulah mematuhi setiap undang-undang yang telah dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan. Kerajaan sudah pasti telah mengenal pasti rancangan yang lebih baik untuk membendung kesalahan-kesalahan trafik yang kerap dilakukan oleh pengguna jalan raya di negara kita ini. Setiap keputusan yang dibuat sudah pasti ada baik dan buruknya tetapi sebagai rakyat Malaysia kita perlu memberikan sepenuh kepercayaan kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk memacu negara ke arah yang lebih baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here