Malaysia pernah berhadapan dengan konflik perkauman yang paling dashyat di negara ini pada 13 Mei 1969. Peristiwa itu memberi peringatan tentang kebenaran peribahasa, ‘kalah jadi abu, menang jadi arang’ kerana konflik ini merugikan semua kaum selain menjejaskan negara di mata dunia.

Tapak perkuburan mangsa 13 Mei 1969

Masing-masing sibuk mengejar kuasa, nama dan kekayaan sehingga lupa pada asas keharmonian negara, iaitu perpaduan kaum. Peristiwa 13 Mei ini menuntut keperluan menghormati Perlembagaan Persekutuan tentang agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa kaum Melayu dan kelompok asal Sabah dan Sarawak serta kedaulatan raja Melayu.

Kecewa sebenarnya apabila ada segelintir ahli-ahli politik yang diberi mandat untuk mentadbir negara mengambil sikap mementingkan diri dan perkauman. Sedikit demi sedikit masyarakat di Malaysia mula mengamalkan etnopopulisme, iaitu fahaman yang mengarah kepada pembahagian masyarakat kepada dua kelompok berdasarkan kaum dan agama, yang berpotensi untuk bersengketa.

Pernah tular di media sosial apabila salah sebuah hospital swasta di Sungai Petani mencari calon pelajar berbangsa Cina dan India sahaja bagi menyambung pengajian dalam Diploma Kejururawatan. Kecewa bukan? Sedangkan Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum yang perlu diberi peluang dengan adil.

Kematian anggota bomba Muhammada Adib yang dipukul semasa menjalankan tugas pada malam rusuhan di Kuil Sri Mariamman mengundang kontroversi kerana melibatkan dua kaum utama di Malaysia iaitu India dan Melayu. Apa yang menyedihkan, ada individu bergelar pemimpin yang pantas ‘menuang minyak ke api’, tidak sabar-sabar menyebarkan di laman sosial bahawa penganut agama tertentu menyerang kuil berkenaan.

Kronologi rusuhan kuil di Subang Jaya

Malah diperhatikan ada sgelintir pemimpin yang sengaja mencuit sensitiviti kaum dan mengajak rakyat supaya bersikap kurang ajar. Perkara sedemikian sepatutnya ditegah dalam negara yang berbilang bangsa dan kaum.

Pergaduhan akibat perkauman tidak menguntungkan mana-mana pihak. Walaupun secara umumnya, ada segelintir kaum yang mempersoalkan keistimewaan kaum Melayu dan Bumiputera, namun itu adalah apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun kaum Melayu dan Bumiputera diberikan ‘sedikit’ kelebihan, namun kaum-kaum lain tidak dinafikan hak mereka. Kalau tidak bagaimana kaum Cina boleh memonopoli ekonomi negara?

Malaysia adalah sebuah negara yang penuh dengan keunikan budaya akibat daripada perbezaan kaum. Itu adalah tarikan yang menjadi identiti negara kita. Keunikan inilah mengagumi para pelabur untuk mencari ruang pelaburan di Malaysia. Jangan disebabkan krisis perkauman, negara kehilangan pelabur-pelabur yang berpotensi untuk menaikkan ekonomi negara.

Memupuk semangat perpaduan memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Ia harus bermula daripada institusi pendidikan di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti.

Institusi pendidikan memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia yang bergelar pelajar untuk bersosial dan bertukar-tukar pendapat secara harmoni. Kerana itu, sekolah-sekolah kebangsaan antara institusi pendidikan yang terbaik untuk terus mengekalkan dasar perpaduan.

Mahalnya nilai sebuah perpaduan. Jaga dan semai ia dengan penuh kasih sayang dan toleransi. Jangan biarkan mana-mana pihak ‘mencuit’ keamanan dan perpaduan negara kita. Jika dicuit dan ‘terjual’ perpaduan ini, maka penggantinya mungkin tidak akan sama. Bukan semua rakyat di dunia pernah merasai keamanan. Kita rakyat yang terpilih, maka hargailah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here