Indonesia bakal mempunyai ibu negara baru setelah kerajaan Republik tersebut memutuskan pertukaran ibu negara dari Jakarta ke Kepulauan Borneo atau lebih tepat di Kalimantan Timur. Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam akaun media sosial Twitter beliau dan ia merupakan visi besar Indonesia untuk masa hadapan.

Namun ia bukanlah kali pertama Indonesia mengubah lokasi ibu negara mereka kerana sebelum ini juga ibu negara mereka berubah-ubah pada tahun 1946 hingga 1949. Pada tahun 1946, Indonesia telah mengubah ibu negara dari Jakarta ke Yogyakarta kerana ketika itu Indonesia berada di bawah pemerintahan Netherlands Indies Civil Administration (NICA).

Kemudian pada tahun 1948, Yogyakarta diserang oleh pasukan tentera Belanda dan kerajaan darurat telah ditubuhkan di Bukittinggi oleh Pemerintahan Darurat Republik Indonesia (PDRI). PDRI telah dibubarkan pada tahun 1949 dan Yogyakarta kembali menjadi ibu negara Indonesia di bawah pemerintahan Republik Indonesia Syarikat (RIS).

Pada tahun 1949 pula, RIS telah dibubarkan dan Jakarta kembali menjadi ibu negara de facto Indonesia. Jakarta menjadi ibu negara de jure Indonesia pada tahun 1961 menerusi Dekri Presiden Nomor 2 Tahun 1961 dan Undang-Undang Nomor 10 Tahun 1964. Ia telah menguatkan status Jakarta sebagai ibu negara Republik Indonesia tersebut.

Pemilihan Kalimantan sebagai ibu negara Indonesia adalah visi besar negara tersebut untuk masa hadapan

Presiden Indonesia membuat keputusan mengubah ibu negara adalah disebabkan hasil laporan terbaru menyatakan Jakarta sudah tenggelam sebanyak 3.9 meter dalam masa 30 tahun. Laporan tersebut juga menyenaraikan Jakarta sebagai salah satu bandar yang sedang tenggelam dan ramalan pakar menjangkakan Jakarta bakal tenggelam sepenuhnya menjelang tahun 2050.

Selain itu, kepadatan penduduk di Jakarta yang mencecah 10 juta orang telah menyebabkan kepadatan penduduk seramai 15,000 orang per kilometer persegi. Ia juga membawa ketidakseimbangan ekonomi antara provinsi kerana Jakarta berada di pulau Jawa dan semua pembangunan tertumpu di sana. Akibatnya, Jawa yang hanya memiliki 7 peratus daripada luas keseluruhan Indonesia terpaksa menanggung 58 peratus daripada jumlah penduduk Indonesia.

Kajian pemindahan ibu kota ini akan bermula pada tahun 2020 hingga tahun 2024 mengenai status tanah dan pembangunan infrastruktur. Permindahan pertama dijangka bermula pada tahun 2024 iaitu tahun yang sama Jokowi dijadualkan menamatkan mandat penggal kedua beliau sebagai Presiden Indonesia.

Pemindahan ibu negara ke Kalimantan akan membawa transformasi ekonomi Indonesia ke arah lebih besar dan dijangka menjadi ekonomi ke-4 terbesar dunia menjelang tahun 2050 selepas China, Amerika Syarikat dan India. Ia juga akan memberi impak berbeza kepada Malaysia kerana kedudukan Kalimantan yang hampir dengan Sabah dan Sarawak.

Indonesi berpotensi menjadi negara ekonomi ke-4 terbesar dunia menjelang tahun 2050

Sabah dan Sarawak berpotensi akan menjalinkan hubungan bersama Indonesia kerana mereka berada dalam satu Kepulauan Borneo serta mampu meningkatkan ekonomi di sana. Ia juga dapat memanfaatkan dari segi pertahanan sekitar kawasan pulau Borneo kerana sudah pasti Indonesia akan meningkatkan pertahanan mereka untuk melindungi Kalimantan. Jadi kerajaan Malaysia harus menjalinkan kerjasama bagi mengelakkan berlaku pencerobohan di kawasan Kepulauan Borneo seperti di Lahad Datu dahulu.

Justeru, langkah Indonesia ini mampu mengubah negara Republik tersebut menjadi negara ekenomi besar di serantau Asia dan dunia. Ia akan membawa visi besar Indonesia dalam jangka masa panjang dan Kalimantan juga berada di luar lingkungan gempa bumi serta gunung berapi. Kerana itu lah Jokowi berkata, Kalimantan ibu negara kepada Indonesia yang “hidup selama-lamanya”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here