Isu kenaikan harga barang terutamanya bahan mentah menjelang musim perayaan sudah dianggap biasa dan klise. Namun, impaknya tetap memberi bebanan kepada pengguna kerana terdapat segelintir peniaga yang menaikkan harga sehingga dua kali ganda.

Walaupun menerima pelbagai rungutan daripada pengguna, peniaga masih lagi memberikan alasan klise dengan menyalahkan pihak pemborong serta pembekal yang menaikkan harga bekalan, maka pihak mereka tiada pilihan kecuali terpaksa menaikkan harga jualan.

Walaupun Ramadhan yang bakal menjelang pada tahun ini masih lagi tiada kedengaran ura-ura mengenai kenaikan harga jualan dan pemantauan yang dilakukan juga masih menunjukkan pada tahap yang positif, namun kerajaan perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Harga barangan mentah menjelang Ramadhan pada Isnin ini dijangka kekal

Kenaikan harga barangan bukanlah suatu isu baharu di negara kita. Harga barangan boleh dikatakan sentiasa naik dengan pelbagai alasan yang dikitar semula untuk menutupi kerakusan peniaga ini. Kenaikan harga minyak, bekalan tidak mencukupi, kejatuhan nilai mata wang dan ketidakstabilan ekonomi negara dan dunia antara alasan yang sering dihadapi oleh pengguna.

Kerakusan sikap pembekal dan peniaga ini akhirnya memberi kesan kepada pengguna. Mereka tersepit, kerana kebanyakan harga barangan jualan mentah yang mendadak naik ini adalah keperluan asas yang diguna pakai setiap hari. Suka atau tidak, pengguna tidak mempunyai pilihan lain, melainkan terpaksa juga membeli.

Syor dan cadangan untuk memboikot sesuatu barangan atau peniaga semakin tidak relevan kerana pengguna tidak mempunyai banyak pilihan. Bagaimana mahu memboikot jika hampir kesemua peniaga di pasar mengenakan harga yang hampir sama? Pilihan yang ada pada pengguna hanyalah ‘berjimat’, kerana untuk mencari barangan alternatif lain dan dijual pada harga yang berpatutan tidak mempunyai pilihan yang banyak oleh pengguna.

Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha secara berterusan untuk mengawal kenaikan harga dengan menetapkan harga siling di samping pihak berkuasa terus melakukan serbuan terhadap peniaga-peniaga yang degil. Namun kaedah-kaedah pengawalan harga yang ditetapkan oleh pihak kerajaan masih belum mampu memberikan kesan yang baik kepada pengguna.

Serbuan sering dilakukan kepada peniaga. Kerajaan perlu juga mendengar rungutan daripada mereka yang mengatakan punca kenaikan harga adalah disebabkan oleh tindakan pembekal dan pemborong yang tamak dalam memanipulasi harga barangan.

Kelompok pembekal dan pemborong ini adalah antara yang perlu bertanggungjawab dalam menentukan kenaikan dan penurunan harga barangan. Jarang kita dengar kerajaan atau  mana-mana pihak berkuasa yang mengambil tindakan kepada pembekal dan pemborong. Kebanyakan serbuan dilakukan terhadap peniaga.

Kerajaan perlu mengambil tindakan juga kepada kelompok pemborong dan pembekal

Maka mulalah timbul tanda tanya adakah kelompok pembekal dan pemborong ini kebal undang-undang? Apakah tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan kepada kelompok ini?

Hakikatnya, walaupun kenaikan harga barang seperti ‘trend’ apabila menjelang musim perayaan, namun ianya tetap memberikan bebanan kepada pengguna. Kerajaan perlu menyediakan suatu mekanisme yang kukuh dalam mengawal kenaikan harga barang.

Pembekal, pemborong dan peniaga perlu dikawal agar mereka tidak boleh memanipulasikan harga barangan. Pihak mereka juga perlu akur pada arahan oleh pihak berkuasa. Mengapa perlu naikkan harga barangan secara mendadak, jika untung sudah ada.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here