Telefon bimbit telah menjadi keperluan utama bagi kebanyakan masyarakat. Telefon bimbit telah menjadi satu daripada medium komunikasi yang terpenting untuk seluruh masyarakat di dunia masa kini. Telefon bimbit bukan sahaja digunakan sebagai alat untuk berkomunikasi malah turut memiliki pelbagai ciri dan fungsi lain antaranya kegunaan-kegunaan seperti melayari internet, mendengar muzik, bermain ‘games’, aplikasi kamera, memuat turun video dan sebagainya.

Pada masa dahulu, telefon pintar ini hanya mampu digunakan oleh warga korporat dan ahli perniagaan yang berjaya,tetapi kini telefon pintar juga mampu dimiliki oleh pelajar-pelajar universiti di Malaysia malah ada juga pelajar sekolah yang sudah menggunakannya. Melalui telefon pintar, pelajar boleh menghubungi ibu bapa, rakan-rakan dan pensyarah di samping mendengar suara, melihat wajah dan akses kepada pelbagai maklumat yang diperlukan bagi menyempurnakan tugasan.

Penggunaan telefon pintar oleh kanak-kanak perlu dipantau lebih kerap

Sebelum wujudnya telefon pintar ini orang ramai hanya menggunakan telefon awam yang telah diletakkan di beberapa kawasan yang mempunyai penduduk yang ramai. Namun ia akan mendatangkan masalah apabila penggunaan telefon tersebut terlalu terhad kerana satu telefon perlu dikongsi bersama dengan lebih 50 orang dalam suatu masa. Kesukaran itu timbul apabila seseorang itu terdesak untuk membuat panggilan kecemasan dan mereka perlu menunggu giliran untuk menggunakan telefon tersebut.

Walau bagaimanapun, telefon pintar hari ini telah menjadi antara alat mudah alih di mana manusia mampu melayari internet di mana-mana sahaja mereka berada. Anak-anak muda juga telah menggunakan telefon pintar untuk mereka mengakses akaun media sosial mereka yang kini dilihat seperti satu budaya baru di negara ini.

Dalam kerancakkan penggunaan telefon pintar, kita juga perlu memberikan kawalan terhadap tahap penggunaannya di dalam negara ini. Hal ini kerana dengan adanya telefon pintar ini ia akan memudahkan pengguna untuk memasuki ke “dunia tanpa sempadan” dan di situ pengguna akan mendapatkan pelbagai jenis maklumat sama ada yang baik atau tidak.

Selain itu, jika tiada kawalan diberikan terhadap penggunaan telefon pintar ia juga mampu membuatkan seseorang itu bertindak agresif. Media komunikasi pada zaman ini semakin tidak dikawal dengan baik apabila pelbagai bentuk permainan video yang berunsurkan keganasan boleh dimuat turun terus ke telefon pintar. Perkara ini juga akan mendedahkan anak-anak muda mahupun kanak-kanak kepada aktiviti yang ganas.

Wujudnya permainan video berunsur keganasan ia sudah pasti akan membimbangkan masyarakat

Ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan sebaik mungkin untuk memantau segala aktiviti harian yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Sebagai contoh, ibu bapa perlu membeli perisian yang boleh menyekat anak-anak daripada menonton atau melihat kandungan lucah yang banyak terdapat di pasaran. Jangan sesekali membiarkan mereka melayari internet sendirian. Walaupun sedikit kawalan kendiri dapat diamalkan, ia mampu memberi kesan besar dalam kehidupan anak-anak.

Justeru itu, kita melihat bahawa telefon pintar memberikan pengaruh yang besar kepada setiap manusia yang menggunakannya, sama ada dalam aspek yang positif mahupun negatif itu terpulang kepada individu masing-masing. Kawalan penggunaan telefon pintar perlulah diberikan sejak kecil lagi supaya pada saat mereka sudah dewasa, mereka mampu untuk menilai sesuatu perkara itu sama ada ia baik atau tidak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here