Walaupun negara kita tidak bebas jenayah, namun sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersyukur kerana masih boleh dapat tidur lena dan hidup dengan aman di negara kita. Kita boleh menjalankan aktiviti harian tanpa perlu gusar dengan ancaman bom sebagaimana di negara jiran kita. Yang pasti, anggota keselamatan negara, terutamanya tentera dan polis telah memainkan peranan yang penting dalam memelihara ketenteraman awam kerana mereka adalah “frontline” negara.

Sudah lumrah, anggota polis dan tentera menghadapi pelbagai dugaan dan terdedah kepada bahaya dalam menjalankan tugas mereka. Oleh yang demikian, kebajikan mereka perlu dijaga dengan baik, demi kepentingan umum juga.

Sebahagian kuarters polis yang sudah usang.

Pada masa kini masih terdapat lagi anggota polis yang berpangkat rendah menjalani kehidupan yang susah baik dari segi kewangan mahupun tempat tinggal. Aspek kebajikan anggota polis dilihat masih rendah terutama keadaan kediaman seperti kuarters polis yang sangat daif. Terdapat banyak kuarters polis di seluruh negara mengalami masalah sama seperti usang, tidak boleh didiami kerana banyak kerosakan serta tidak diselenggara dengan baik.

Oleh itu, bagi menghargai jasa dan pengorbanan polis, kita berharap supaya tindakan segera diambil untuk membaiki segala kerosakan infrastruktur di kuarters polis di seluruh negara agar mereka dapat hidup dengan selesa. Selain itu, pihak kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan perlindungan takaful khas untuk anggota polis. Perlindungan takaful ini sedikit sebanyak dapat membantu anggota polis dan keluarga mereka sekiranya berlaku kemalangan dan mereka juga layak untuk mendapat imbuhan tertentu sekiranya ditakdirkan mendapat penyakit ketika masih dalam perkhidmatan.

Pengorbanan mereka demi menjaga keamanan negara perlu dihargai.

Kerjaya sebagai seorang anggota keselamatan tidak kira polis atau tentera adalah berisiko tinggi. Sebaik sahaja mereka menyarungkan pakaian seragam, boleh dikatakan nyawa mereka menjadi pertaruhan. Mereka perlu berhadapan dengan apa jua keadaan demi membanteras jenayah dan menjaga keselamatan umum. Justeru itu, menjaga kebajikan anggota keselamatan di dalam negara ini adalah sangat wajar sebagai tanda kita menghargai jasa mereka menjaga keamanan negara dari dulu sehingga sekarang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here