Sektor pertanian merupakan salah satu sektor terpenting yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Selain itu, sektor ini juga menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Namun, situasi berbeza telah berlaku apabila sebahagian besar pekerja di sektor pertanian adalah buruh asing. Ia dapat dibuktikan melalui statistik yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di mana sehingga Jun 2019, seramai 156,334 (7.81 peratus) orang buruh asing telah aktif di sektor pertanian.

Lambakan buruh asing di sektor pertanian semakin meningkat

Walaupun kebergantungan buruh asing di sektor pertanian tidaklah secara menyeluruh, namun ia harus dikawal sebaik mungkin sebelum ia menerima nasib yang sama di sektor perindustrian. Oleh itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengingatkan supaya pemain industri mengutamakan pekerja tempatan yang terlatih dan berkemahiran.

Demand’ gaji yang tinggi mengikut kelayakan dan tidak gemar bekerja di bawah panas terik menjadi antara faktor utama jawatan di sektor pertanian banyak diisi oleh buruh asing. Oleh itu, ia tidak memberi banyak pilihan kepada pengusaha dengan mengambil buruh asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di sektor tersebut.

Selain itu, sikap memilih rakyat Malaysia dalam mencari pekerjaan juga telah menyebabkan sektor pertanian terus dipelopori oleh pekerja asing. Cameron Highland adalah salah satu gambaran terbaik pada masa kini kerana sebahagian pekerja di ladang-ladang adalah pekerja asing. Situasi ini agak berbeza sebelum ini di mana ia dipenuhi oleh pekerja tempatan.

Masyarakat kita perlu dididik dari awal supaya cintakan pertanian

Sehubungan itu, kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih proaktif bagi mengelakkan sektor pertanian terus bergantung kepada buruh asing. Penyelarasan gaji ditahap yang lebih baik perlu dilaksanakan supaya ia dapat menarik minat rakyat Malaysia khususnya golongan muda.

Selain itu, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan untuk menjadikan pertanian sebagai salah satu subjek atau aktiviti di peringkat sekolah. Persepsi golongan orang muda bahawa pertanian hanya untuk golongan luar bandar perlu diubah. Sementara itu, secara tidak langsung ia akan memberi gambaran penuh kepada masyarakat kita bahawa sektor pertanian adalah penting dalam menyumbang kepada negara dan kehidupan mereka.

Segala usaha ini adalah penting dalam mengurangkan kebergantungan buruh asing di dalam sektor pertanian. Fenomena lambakan buruh asing di sektor pertanian memberi gambaran kasar terhadap kita bahawa semakin ramai rakyat Malaysia yang menganggur. Mana tidaknya, jika semua peluang pekerjaan kasar diisi oleh buruh asing maka ia bukanlah satu petanda baik kepada negara.

Oleh yang demikian, situasi ini sudah pasti merugikan kita kerana tanpa disedari segala kepakaran dalam sektor pertanian akan dikuasai oleh buruh asing. Ini bermakna, rakyat Malaysia akan terus ketandusan pekerja mahir dan separa mahir. Sehubungan itu, tidak ada apa yang perlu dihairankan jika suatu hari nanti sektor pertanian di negara kita dikuasai oleh orang asing.

Justeru itu, rakyat Malaysia perlu diberikan kesedaran segera mengenai permasalahan ini. Bukankah lebih baik sekiranya sektor yang menjadi sektor simpanan makanan negara ini dikuasai dan pelopori oleh rakyat Malaysia. Graduan-graduan yang berkenaan seharusnya menjadi pengantara kerajaan dan rakyat dalam memastikan sektor pertanian kita tidak terus diabaikan masyarakat kita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here