Ketika artikel ini ditulis negara baru sahaja digemparkan dengan kematian tragis adik Siti Masitah yang dibunuh dengan kejam pada 30 Januari 2018. Mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah selepas ke kedai secara bersendirian sebelum ditemui 11 hari kemudian dalam keadaan tidak sempurna.

Isu mengenai keselamatan kanak-kanak tidak sepatutnya menjadi kesedaran bermusim. Perkara ini perlu menjadi kesedaran dan kewaspadaan sepanjang masa agar keselamatan kanak-kanak terjamin dan tidak menjadi mangsa penjenayah. Malaysia mula menandatangani Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) pada tahun 1995. Pada tahun 2001 kerajaan telah memperkenalkan Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611). Pada 25 Julai 2016, Akta Kanak-kanak telah dipinda dan diwartakan. Terdapat empat perkara di dalam Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016, iaitu Daftar Kanak-kanak, Perintah Khidmat Masyarakat, Penjagaan Keluarga dan Kenaikan Tarif. Pindaan ini demi memperkasakan perlindungan ke atas kanak-kanak yang masih di bawah umur 18 tahun.

Mayat kanak-kanak Siti Masitah ditemui dalam keadaan anggota badannya yang terpisah

Secara umumnya Akta Kanak-Kanak berkesan dalam melindungi hak kanak-kanak. Pada tahun 2015, kes di Sungai Dua, Pulau Pinang, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun telah dikurung dan tidak diberi makan oleh bapanya. Kanak-kanak malang itu ditemui dalam keadaan tidak bermaya dan kurang nutrisi. Ekoran daripada itu, bapanya ditahan dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 di bawah kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Keratan akhbar mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang dikurung oleh bapanya

Jika rakyat Malaysia masih ingat pada kejadian malam Februari 2017, tujuh orang kanak-kanak yang dibiarkan berbasikal selepas lewat tengah malam di sekitar Johor Bahru maut selepas dirempuh oleh sebuah kenderaan. Kejadian itu mendapat reaksi spontan daripada netizen yang menyalahkan ibu bapa kerana tidak mengawasi pergerakan anak mereka dan membiarkan kanak-kanak ini merayau walaupun sudah larut malam.

Pada awal Mei 2017, kejadian di Jalan Simpang Kuala, Kuala Kedah, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun patah tangan kiri selepas tersepit pada rim motosikal yang dibonceng bersama ibunya. Mangsa terjatuh dan tangannya tersepit. Kejadian-kejadian yang berlaku adalah akibat daripada kecuaian ibu bapa.

Sikap ibu bapa yang gemar meninggalkan anak-anak berseorangan tanpa pengawasan orang dewasa sama ada di dalam rumah, kereta dan sebagainya boleh didakwa di bawah Seksyen 33. Hukuman bukanlah bertujuan meletakkan kesalahan di bahu ibu bapa, tetapi lebih kepada memberikan kesedaran kepada mereka bahawa kecuaian dan kelalaian ini jika dipandang secara sambil lewa boleh meragut nyawa kanak-kanak.

Walaupun mengikut Akta 611 ada menyatakan mengenai kepentingan melindungi kanak-kanak, namun tiada peruntukkan yang jelas mengenai tanggungjawab ibu bapa. Sebagai penandatangan kepada Konvensyen Hak Kanak-Kanak, kerajaan Malaysia harus menyatakan dengan jelas ‘tanggungjawab ibu bapa’ berdasarkan pada hala tuju Dasar Keluarga Negara Malaysia. Kerajaan mungkin perlu menakrifkan istilah ‘tanggungjawab ibu bapa’ berdasarkan pada latar budaya dan agama di Malaysia.

Di dalam Akta Kanak-Kanak 2001 ada menyatakan bahawa kanak-kanak bukan sahaja merupakan suatu bahagian penting masyarakat tetapi mereka juga kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat. Mereka adalah golongan yang wajar mendapatkan hak perlindungan tanpa mengira apa-apa jenis perbezaan seperti ras, warna kulit, agama dan bangsa. Walaupun kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif untuk melindungi dan menegakkan hak kanak-kanak, namun kes kecuaian dan pengabaian kanak-kanak masih kekal sebagai cabaran utama sehingga kini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here