Kemajuan sesebuah negara bukan sahaja menjadikan ekonomi, kedudukan mata wang dan kehadiran pelabur asing sebagai indikator. Kebanyakan daripada pemimpin di negara maju ini meletakkan suatu persepsi yang mungkin kurang ‘dipandang’ oleh kebanyakan penduduk dunia, tetapi sebenarnya ia sangat penting dalam mempengaruhi kemajuan sesebuah negara.

Kebersihan. Ya, mungkin bagi segelintir pihak perkara yang melibatkan kebersihan tidak terlalu mustahak untuk ‘diambil tahu’ seperti ilmu ekonomi, namun jika dipraktikkan oleh rakyat Malaysia, secara psikologinya ia mampu mempengaruhi disiplin rakyat Malaysia, sekaligus akan membentuk sikap mereka untuk membantu kemajuan negara.

Ini adalah pelajaran yang paling asas sebelum membentuk sebuah negara maju. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri ada menyatakan bahawa Malaysia tidak akan berjaya sebagai sebuah negara maju sekiranya gagal mengimbangi pembangunan fizikal dengan pemeliharaan alam semula jadi dan mengekalkan persekitaran sedia ada.

Jepun bukan sahaja terkenal dengan kemajuan teknologinya, bahkan penduduk Jepun juga menjadi bualan dunia kerana sikap disiplin mereka dalam menjaga kebersihan. Tidak perlu ‘terbang’ terlalu jauh. Cukup sekadar dengan melihat negara jiran Malaysia, iaitu Singapura. Bagaimana republik kecil yang terkelompok sebagai antara negara paling maju di dunia itu berjaya membentuk disiplin rakyat mereka untuk menjaga kebersihan.

Didikan yang diterima oleh anak-anak warga Jepun mengenai kebersihan sejak dari kecil

Bagi seorang pelancong, pandangan luaran boleh memberikan persepsi pertama cara kita menilai kemajuan sesuatu bangsa dan negara. Kita boleh melihat bagaimana keadaan sebuah negara mundur seperti India dalam soal kebersihan. Penduduk mereka boleh ‘melepaskan hajat’ merata jalan.

Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mengeluarkan kenyataan, ‘kita mempunyai prasarana kelas pertama, tetapi kebanyakan masyarakat bermentaliti kelas ketiga’. Oleh kerana itu, melalui penulisan artikel ini pada kenyataan di atas, ada menulis bahawa kemajuan negara bukan sahaja diukur dari segi ekonomi, bahkan ada beberapa indeks yang boleh dinilai berasaskan sikap, etika dan pandangan dunia mengenai masyarakat sesebuah negara berbanding dengan kemajuan ekonomi.

Umpamanya lihat sahaja kualiti air sungai, jika semakin kotor maka semakin mundurlah sesebuah negara. Pasti terus terlintas di fikiran kita perbandingan antara air longkang di   Hida-Furukawa, Jepun dengan Pantai Juhu di Mumbai India.

Keadaan Pantai Juhu di Mumbai India

Untuk membina bangunan pencakar langit dan mengejar populariti dengan meletakkan ketinggian bangunan sebagai subjek utama sebenarnya suatu perancangan yang sangat mudah. Namun untuk menggembleng seluruh warga Malaysia menjaga kebersihan sungai dan alam sekitar di kawasan penempatan mereka adalah sangat sukar.

Rakyat Malaysia masih lagi terperangkap dengan mentaliti bahawa segala cukai pendapatan yang dibayar oleh mereka untuk kerajaan sudah cukup memenuhi tanggungjawab sebagai pemegang kad pengenalan biru.

Segelintir daripada mereka tidak mempunyai semangat kebanggaan dan kecintaan terhadap tanah air. Mereka kurang terdedah kepada aktiviti kemasyarakatan dan keilmuan. Kebanyakannya hanya bergantung kepada dana kerajaan dan hanya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada jabatan-jabatan tertentu.

Kurang menghormati hak awam adalah kelemahan etika yang jelas menunjukkan kita masih terperangkap dengan minda kelas ketiga. Mahu melihat contoh yang mudah? Siapa di kalangan kita yang tidak pernah membuang sampah di dalam sungai? Pasti walaupun hanya sekali, kita pernah melakukannya.

Maka melalui konteks pencemaran sungai umpamanya, jagalah kebersihan sungai walaupun hanya di belakang rumah, di dalam negeri dan negara kita. Jika semua warga Malaysia atau warga dunia bertindak sedemikian, kita akan mendapat asas bekalan air bersih yang akan di salurkan ke seluruh negara seterusnya dinikmati semua orang. Inilah yang dimaksudkan dengan masyarakat berpandangan dunia.

Sebenarnya banyak lagi indeks kemajuan negara yang boleh diukur selain daripada konteks pencemaran sungai. Namun apa yang mahu ditekankan adalah ‘asas’ kepada pembentukan disiplin bagi membentuk negara maju. Perkara paling ‘asas’ yang paling dekat dengan kita adalah kebersihan. Jika ‘menjaga kebersihan’ masih lagi ‘berkira-kira’, bagaimana kita mahu membentuk suatu perkara yang besar iaitu membangunkan sebuah negara maju?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here