Masyarakat Orang Asli merupakan satu entiti masyarakat Malaysia yang terdapat di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis dan Pulau Pinang. Antara negeri yang banyak penempatan mereka adalah di negeri Pahang, Perak, Kelantan dan lain-lain. Walaupun mereka diiktiraf sebagai warganegara Malaysia, boleh dikatakan mereka adalah antara golongan yang sering terpinggir dalam permasalahan kebajikan.

Masyarakat orang asli adalah antara golongan minoriti di malaysia

Baru-baru ini, masyarakat orang asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang telah berhadapan dengan penyakit berkaitan jangkitan saluran pernafasan. Isu wabak penyakit yang menimpa kehidupan orang asli di Malaysia bukanlah isu baharu namun ia sering tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak yang berkenaan.

Jumlah kematian orang asli di Gua Musang yang semakin bertambah telah mendapat liputan meluas media. Sehubungan itu, laporan media yang tersebar luas juga akhirnya telah menyedarkan banyak pihak tentang kroniknya insiden kesihatan di kawasan tersebut sehingga Tun Dr Mahathir sendiri sanggup bertemu dengan wakil kumpulan orang asli perkampungan tersebut.

Penempatan mereka yang jauh di pedalaman dan tidak mempunyai pengangkutan menjadi faktor utama yang menyebabkan mereka sukar keluar ke pekan sekiranya berlaku kecemasan kesihatan. Oleh itu, pihak berwajib perlu mencari satu inisiatif bagi membantu golongan ini mendapatkan rawatan kesihatan dengan lebih baik.

Pencerobohan tempat tinggal adalah antara isu yang sering diperjuangkan oleh mereka

Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mewujudkan pasukan khas bagi melakukan tugas pemeriksaan kesihatan secara berkala di penempatan-penempatan orang asli di seluruh Malaysia. Selain itu, rekod kesihatan yang sistematik juga perlu diperkenalkan kepada mereka sama seperti warganegara yang lain bagi memudahkan pihak KKM dan pesakit itu sendiri untuk dijadikan rujukan pada masa akan datang.

Jika di bandar-bandar, kita mempunyai ambulans sekiranya berlaku sebarang kecemasan namun berbeza di penempatan mereka di mana mereka tidak mempunyai pengangkutan untuk berbuat demikian. Oleh itu, kerajaan juga boleh menyediakan dana dan menubuhkan satu pasukan atau perkhidmatan pengangkutan di penempatan orang asli bagi memudahkan mereka keluar ke pekan sekiranya berlaku kecemasan.

Dalam hal ini, kerjasama kerajaan pusat dan kerajaan negeri adalah sangat penting dalam membantu meningkatkan tahap kesihatan orang asli di Malaysia. Penerokaan hutan tanpa kawalan dan pencemaran sumber air adalah antara isu yang sering diperjuangkan oleh golongan ini. Oleh itu, kerajaan perlu lebih tegas dalam melaksanakan undang-undang berkenaan bagi memastikan tiada aktiviti pencerobohan penempatan orang asli sehingga berlaku pencemaran sekaligus memberi kesan buruk kepada kehidupan mereka.

Justeru itu, sudah tiba masanya kerajaan memberikan pembelaan sewajarnya kepada orang asli di seluruh negara bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang. Hak orang asli tidak boleh dinafikan kerana mereka juga adalah warganegara Malaysia yang diiktiraf. Kini, sekali lagi komuniti orang asli di Malaysia sedang menghadapi konflik di mana ia memerlukan perhatian kerajaan sepenuhnya khususnya terhadap segala tuntutan masyarakat orang asli. Sikap dan persepsi masyarakat sekeliling juga perlu diubah supaya lebih prihatin terhadap golongan ini. Hal ini kerana mereka juga adalah daripada golongan yang mampu membawa perubahan kepada negara. Maka, tidak ada sebab mengapa masa depan mereka perlu dipandang enteng oleh kerajaan sejak sekian lama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here