Isu pembalakan seringkali dikaitkan dengan Orang Asli serta menjadi ancaman terbesar kepada suku kaum itu. Apabila keluarnya mengenai isu ini, media seringkali dihidangkan dengan bantahan-bantahan daripada pihak Orang Asli.

Mahu tidaknya, habitat flora dan fauna semakin terhakis dan sumber rezeki kepada kebanyakan kaum Orang Asli semakin terjejas akibat aktiviti pembalakan hutan ini.

Awal tahun 2019, dua bantahan telah dikeluarkan oleh pihak Orang Asli berkenaan pembalakan di kawasan mereka. Bantahan telah dikeluarkan oleh penduduk Orang Asli dari suku Temiar di Gerik, Perak dan Gua Musang, Kelantan.

Isu bantahan ini telah mendapat perhatian daripada Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang mahu kerajaan negeri yang didakwa menceroboh kawasan tanah adat itu sejak 18 Januari lalu membuat kajian dan perancangan teliti sebelum meluluskan kawasan pembalakan.

Orang Asli mempunyai hak ke atas tanahnya mengikut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan

Penduduk Orang Asli di Tasik Cunex Perak itu telah membina halangan sebagai protes kepada aktiviti pembalakan berhampiran tempat tinggal mereka. Namun, pihak Orang Asli dari Suku Temiar ini didakwa diugut pihak berkuasa dengan senapang agar membuka halangan di lokasi pembalakan.

Bagi Orang Asli di Gua Musang, kegiatan pembalakan ini menyebabkan mereka mengalami kemerosotan hasil hutan, kehilangan punca air bagi kegunaan harian serta pencerobohan gajah disebabkan habitatnya musnah.

Keuntungan akibat kegiatan pembalakan haram ini hanya dinikmati oleh sesetengah pihak yang berkepentingan, namun kesan akibat daripada aktiviti ini terus dirasai oleh golongan Orang Asli, dimana sumber rezeki mereka hampir musnah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy ada menyatakan bahawa pejabat Peguam Negara telah memfailkan tindakan undang-undang bagi pihak Orang Asli Temiar di Kelantan. Penduduk suku kaum itu masih menunggu perjalanan kes dan berharap agar kawasan mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Kerajaan perlu memandang serius setiap bantahan yang dilakukan oleh orang Asli. Mereka bukanlah penduduk Malaysia yang ‘sekadar di pinggiran’ sehingga dinafikan haknya dan boleh dibuli sesuka hati.

Hentikan segera pembalakan di penempatan Orang Asli

Aktiviti pembalakan di Gua Musang telah memusnahkan 50 kawasan tadahan air bukit sekaligus menyebabkan penduduk di sana berhadapan dengan risiko hakisan bukit yang boleh menyebabkan tanah runtuh.

Justeru itu, kerajaan Negeri dan Jabatan Perhutanan perlu memainkan peranan mereka untuk menjaga kebajikan orang asli dan kawasan perhutanan di negeri mereka. Sangat tidak adil bagi penduduk Orang Asli serta kehidupan flora dan fauna yang terjejas akibat daripada sikap pihak yang mementingkan diri.

Mengikut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, masyarakat Orang Asli mempunyai hak bukan sahaja ke atas tanah adat tetapi juga hasil hutan dan air. Justeru itu, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan mereka supaya kehidupan mereka tidak terjejas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here