Bekas Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menyatakan bahawa Malaysia merupakan pembangunan dunia pertama yang terkandas dengan mentaliti dunia ketiga. Kalau dahulu mungkin kelihatan agak samar-samar apakah yang mahu disampaikan oleh beliau, namun hari ini selepas era pemerintahan beliau telah tamat tempoh, baru kita faham apakah maksud yang beliau sampaikan.

Mahu tidaknya selepas tular video yang dimuat naik oleh Shaow Tung Leong salah seorang anggota kumpulan Sarawak for Sarawakian (S4S) berhubung ‘kebiadapan’ mereka yang duduk dan tidak berdiri ketika lagu kebangsaan berkumandang dalam satu majlis anjuran Parti Bansa Dayak Bersatu itu menunjukkan bahawa masih ada lagi segelintir rakyat Malaysia yang bermentaliti ‘sampah’.

Tidak mahu menafikan bahawa negara kuasa dunia, Amerika Syarikat juga ada mempunyai rakyat yang bermentaliti sedemikian. Rakyat mereka terbahagi dalam kompas moral antara golongan patriotik dan politik. Dalam aspek politik, ada macam-macam jenis golongan. Yang tidak bersetuju dengan Donald Trump enggan berdiri, sebaliknya melutut.

Antara individu yang tidak menghormati lagu Negaraku

Lapan orang anggota kumpulan S4S ini menggunakan alasan politik bahawa Dr Mahathir enggan melunaskan royalti minyak Sarawak, maka perbuatan itu adalah sebagai tanda protes senyap mereka ke atas Kerajaan Persekutuan.

Tindakan yang hampir sama pernah dilakukan oleh anggota Parlimen Kuching dari parti DAP pada tahun 2014. Beliau telah mengaitkan tindakan memainkan lagu Negaraku di panggung wayang dengan era komunis. Satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab terutama sekali ketika itu beliau masih lagi menjawat jawatan sebagai anggota Parlimen.

Sudah sampai masanya Akta Lagu Kebangsaan 1968 diperketatkan dengan tindakan-tindakan tegas. Menurut laporan akhbar, pengkhianat S4S itu mungkin akan disiasat di bawah Seksyen 8 (3) di bawah akta yang berkenaan. Denda yang dikenakan tidak melebihi RM100 atau penjara tidak lebih sebulan.

Dalam perkara ini, Malaysia wajar menjadikan negara Montenegro sebuah negara Eropah sebagai contoh. Sesiapa yang tidak berdiri untuk menghormati lagu kebangsaan akan berdepan dengan denda antara €300 hingga €2,000.

Begitu juga dengan kerajaan Filipina yang tidak menghalang pihak berkuasa negara mereka untuk memberkas sesiapa saja yang enggan berdiri semasa lagu kebangsaan dimainkan. Di India pula, walaupun negara itu masih di dalam kategori kurang membangun, namun pada setiap filem mereka kita tidak mampu untuk menafikan pasti terselit juga unsur patriotisme. Atas sebab itu juga lagu kebangsaan negara mereka dimainkan dengan paparan bendera kebangsaan sebelum tayangan filem.

Masih ada la segelintir rakyat Malaysia yang tahu hormat pada lagu kebangsaan

Cukuplah selama ini identiti Malaysia dipersoalkan secara bertubi-tubi. Jika dengan lagu kebangsaan dan bendera juga rakyat Malaysia sudah tiada hormat, apatah lagi dengan kontrak sosial yang sudah lama dipersetujui.

Jelas sekali Malaysia merupakan negara maju dari segi pembangunan. Berebut-rebut pemimpin negara kita mahu membangunkan bangunan tertinggi dengan menara 90 tingkat dalam perancangan, namun mereka lupa bahawa rakyat kita ‘ketandusan’ dalam aspek sosial dan budaya.

Masing-masing mahu mempersoalkan hak, sedangkan mereka perlu melihat di luar konteks dunia Malaysia seperti Rohingya di mana rakyatnya masih tercari-cari sebuah negara yang mampu menerima mereka sebagai ‘rakyat yang sah’. Maka rakyat Malaysia, bersyukurlah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here