Sejak akhir-akhir ini isu penghinaan institusi raja di negara ini dilihat sudah berada pada tahap yang amat membimbangkan. Rakyat kini seperti tiada rasa hormat kepada institusi Raja-Raja Melayu apabila tanpa rasa bersalah bebas untuk membuat penghinaan yang keterlaluan.

Sama-sama kita berikan penghormatan kepada institusi Raja-Raja Melayu

Perkara ini jelas dapat kita saksikan di media-media sosial khususnya apabila sultan dan raja telah dihina dengan begitu teruk sekali bahkan ada yang telah meletakkan gambar kepala anjing di wajah Tuanku Agung Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Penghinaan terhadap institusi diraja tidak sepatutnya berlaku untuk sebuah negara yang mengamalkan Sistem Raja Berpelembagaan yang meletakkan raja sebagai kuasa tertinggi khususnya dalam hal ehwal agama Islam.

Sangat menghairankan kita pada hari ini apabila rakyat menjadi semakin berani untuk melakukan apa sahaja yang mereka ingin lakukan tanpa mengambil kira sebarang kesan atau tindakan yang akan diambil kepadanya. Persoalannya kini mengapa rakyat menjadi semakin berani dan bersikap kurang ajar?

Walau bagaimanapun, kita faham bahawa kerajaan baru pada hari ini telah mengamalkan konsep kebebasan bersuara namun ia tidak boleh dijadikan alasan individu untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh menyumbang kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Jelaslah di sini bahawa penguatkuasaan terhadap isu-isu sensitif sebegini tidak terlalu tegas di negara kita jika mahu dibandingkan dengan negara Thailand. Faktor ini juga merupakan penyumbang utama kepada masalah ini terus berleluasa dan menjadi semakin parah di negara kita.

Jika di negara Thailand sekiranya anda didapati bersalah membuat penghinaan terhadap raja, anda boleh dimasukkan ke dalam penjara sehingga ke 150 tahun. Lihat bagaimana tegas negara Thailand untuk menjaga kesucian institusi raja di negara mereka berbanding kita.

Oleh itu, kerajaan pada hari ini perlu mengambil tindakan yang lebih tegas kepada individu-individu yang jelas cuba untuk mencabar undang-undang negara. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah mencadangkan untuk memperkenalkan undang-undang melarang kenyataan yang menghina institusi diraja. Usaha ini perlu dilaksanakan secepat yang mungkin dan kerajaan perlu lebih komited supaya ia akan dilaksanakan dengan jayanya di negara ini.

Sebelum ini, Menteri Undang-Undang Malaysia liew Vui Keong berkata kerajaan sedang mempertimbang untuk meluluskan undang-undang baharu dan mengkaji semula undang-undang sedia ada bagi melindungi institusi diraja daripada “fitnah dan serangan yang tidak berasas.”

Tuanku Agung Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Daulat Tuanku

Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersikap lebih matang agar kita sama-sama dapat menjaga serta memelihara kesucian institusi diraja. Berpeganglah kepada Rukun Negara kedua iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” supaya ia tidak lagi menjadi mainan oleh mereka yang sudah tidak layak menjadi warganegara Malaysia kerana tidak memegang kepada prinsip tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here