Kalau mengikut logik  akal sihat manusia, hendak mencubit atau memarahi kanak-kanak pun sudah boleh membuat hati kita rasa sedih dan mendatangkan perasaan bersalah kepada sesiapa sahaja. Namun, ia berbeza untuk segelintir golongan yang sudah hilang sifat berperikemanusiaan apabila menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa kekejaman mereka.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak kes-kes kekejaman terhadap kanak-kanak dipaparkan didada-dada akhbar setiap hari. Namun mungkin ramai yang tidak tahun sejak lima tahun yang lalu, sebanyak 9,781 kes kanak-kanak hilang telah dilaporkan di seluruh negara yang melibatkan 2,280 lelaki dan 7,501 perempuan. Selain itu, merujuk kepada statistik yang pernah dikeluarkan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah merekodkan 567 kes kehilangan kanak-kanak dilaporkan. Daripada angka itu, 374 telah berjaya ditemui semula (sama ada dalam keadaan hidup atau tidak) manakala 193 lagi masih hilang.

Negara kita pernah digemparkan dengan kes menyayat hati yang melibatkan kanak-kanak sebelum ini seperti kes Nurul Huda, Nurin Jazlin Jazimin, Sharlinie dan lain-lain lagi. Apa yang lebih menyedihkan kita adalah fenomena ini bagaikan tiada kesudahan apabila baru-baru ini, negara sekali lagi digemparkan dengan kes serupa apabila berita Siti Masitah Ibrahim, 11, yang ditemui mati dibunuh. Ini membuktikan bahawa kes kekejaman terhadap kanak-kanak di negara kita berada di tahap yang serius dan membimbangkan.

Kes kehilangan Sharlinie antara kes yang masih menemui jalan buntu

Kekejaman terhadap kanak-kanak sama ada secara seksual atau fizikal dilihat satu fenomena yang semakin berleluasa sehingga keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terjejas. Antara kes yang mendapat perhatian netizen sebelum ini adalah kes Nurul Nadirah yang berlaku pada tahun 2012 apabila menjadi mangsa bunuh bermotifkan dendam. Selain itu, kes Nurul Huda juga antara kes paling mendapat perhatian apabila menjadi mangsa rogol bergilir-gilir pada tahun 2004.

Sehubungan itu, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan jenayah ini boleh berlaku. Tanpa kita sedari kadang-kala si pelaku mungkin adalah orang yang dikenali atau mempunyai hubungan kekeluargaan. Sikap cuai ibu bapa atau penjaga adalah antara faktor yang boleh menyumbang kepada jenayah ini. Hal ini kerana apabila kecuaian berlaku ruang kepada pelaku untuk melakukan penculikan dan kekejaman terhadap kanak-kanak akan terbuka.

Selain itu, faktor sekeliling juga tidak boleh diabaikan kerana berdasarkan beberapa kes pembunuhan kanak-kanak sebelum ini mempunyai ‘pattern’ atau persamaan fakta yang sangat jelas iaitu mangsa berseorangan, tanpa pengawasan, tidak jauh dari rumah dan kadang-kala mereka mengenali si pelaku. Oleh itu, adalah sangat penting untuk ibu bapa mengetahui latar belakang individu-individu yang dilihat gemar mendekati anak-anak mereka sekiranya mereka mempunyai rekod jenayah lampau, dalam pengaruh dadah atau mempunyai dendam terhadap mangsa serta keluarga.

Kanak-kanak adalah golongan yang perlu disayangi

Sehubungan itu, ibu bapa perlu lebih peka dan mengukuhkan institusi kekeluargaan dengan mengambil sikap sentiasa berwaspada terhadap setiap pergerakan anak-anak. Hal ini penting kerana pelaku akan sentiasa menunggu peluang terbuka untuk melakukan jenayah. Sementara itu, ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak untuk membezakan sentuhan yang merbahaya dan sentuhan kasih sayang.

Kanak-kanak adalah golongan yang lemah lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan situasi yang merbahaya. Oleh itu, adalah wajar sekiranya ibu bapa atau guru-guru di sekolah melatih mereka dengan perkara asas seperti menjerit, menggigit si pelaku dan melarikan diri sekiranya mereka berhadapan dengan situasi ini.

Walau bagaimanapun, sikap jiran tetangga dan masyarakat sekeliling juga sangat penting dalam membantu membendung gejala ini. Masyarakat sekeliling juga perlu membantu melaporkan sekiranya melihat sesuatu yang mencurigakan. Penguatkuasaan undang-undang sahaja dilihat masih belum dapat menggerunkan si pelaku, kerana mereka masih tidak peduli dengan segala bentuk hukuman yang ditetapkan oleh pihak berkuasa asalkan dapat melempiaskan nafsu dan amarah mereka.

Fenomena kekejaman terhadap kanak-kanak dilihat seperti tiada jalan penyelesaiannya berikutan masih banyak lagi kes kanak-kanak yang hilang belum dijumpai dan untuk kes yang dapat diselesaikan pengakhirannya amat tragis. Oleh itu, pelaksanaan undang-undang secara tegas juga amat diperlukan atas faktor kes yang masih ‘tergantung’ selain terdapat suspek yang ‘terselamat’ daripada hukuman. Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keselamatan anak-anak kita terjamin dan jenayah kanak-kanak seperti ini tidak lagi berlaku pada masa hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here