Pendidikan negara mula menunjukkan satu anjakan status yang bersesuaian dengan kemajuan teknologi masa kini. Kini sudah ada guru yang mula berani dan bijak melakukan inisiatif sendiri untuk merakamkan sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) mereka melalui saluran Youtube untuk dimasukkan ke dalam sebuah portal yang lebih menyeluruh dan sistematik.

Secara sedar atau tidak bakat guru-guru ini sebenarnya sangat diperlukan ke arah mentransformasikan kaedah pemindahan ilmu kepada murid secara global. Kini usaha guru-guru ini sedang ‘diintai’ oleh Kementerian Pendidikan bagi mengumpul data-data mereka.

Channel Phykir UPSI yang banyak berkongsi inovasi dalam Fizik

Di pihak kementerian sendiri telah membangunkan satu platform pembelajaran digital yang boleh dijadikan repositori untuk semua guru berkongsi bahan digital yang mereka hasilkan agar ia menjadi satu platform yang lengkap dan menyeluruh untuk rujukan semua pihak.

Pendekatan untuk menyampaikan apa sahaja ilmu berkenaan subjek yang ada di sekolah melalui saluran Youtube merupakan satu jalan bijak yang mampu menarik perhatian pelajar. Kita jangan lihat daripada impak negatif yang sering berfikiran bahawa saluran Youtube ini mungkin mengandungi unsur-unsur yang kurang sesuai dengan pelajar.

Malahan ada juga memberi tanggapan bahawa ‘betul ka pelajar-pelajar tu tengok PdPc guru mereka?’ Rasanya tidak perlu mempunyai stigma yang terlalu negatif jika mahukan kemajuan. Itulah gunanya pemantauan daripada ibu bapa. Bebanan dan tanggungjawab tidak perlu diserahkan ‘bulat-bulat’ pada guru.

Sesi PdPc menggunakan saluran Youtube ini satu langkah yang wajar diteruskan dan disebarkan kepada guru-guru lain agar mereka mempunyai inisiatif yang sama. Cikgu Hailmi, guru di SMK Jerlun, Kedah juga menggunakan pendekatan PdPc di saluran Youtube.

Channel Cikgu Hailmi yang banyak berkongsi mengenai subjek Sains

Melalui tinjauan peribadi yang dilakukan di saluran guru Sains itu, banyak impak positif yang bukan sahaja boleh diperolehi oleh pelajar-pelajar beliau, bahkan guru dan pelajar daripada sekolah lain juga boleh mendapat ilmu yang sama.

Apa yang menariknya, ibubapa juga berpeluang melihat ‘eksperimen Sains’ yang dikendalikan oleh Cikgu Hailmi dan pelajarnya melalui saluran Youtube. Secara tidak langsung ilmu ini dapat disebarkan secara meluas tanpa perlu ke perpustakaan untuk mengulangkaji atau mencari bahan bacaan. Ianya lebih mudah difahami dan lebih menyeronokkan.

Tidak boleh dinafikan sesi pembelajaran di sekolah dan kelas masih kekal relevan dalam skop pendidikan negara. Tetapi PdPc di saluran Youtube merupakan satu teknik ulangkaji untuk pelajar supaya lebih memahami setiap subjek yang diajar di kelas. Ianya boleh diulang tayang semula sehingga pelajar benar-benar memahami mata pelajaran berkenaan.

Skop pendidikan negara perlu menerima perubahan seiring dengan kemajuan teknologi dunia. Untuk menjadi sebuah negara maju dalam bidang pendidikan, kita tidak boleh terlalu selesa pada takuk lama dengan mengekalkan sesi pembelajaran yang sama sejak dari tahun 80-an.

Menggunakan kertas manila kad atau kertas mahjung bagi sesi pembentangan di kelas mungkin sudah kurang relevan. Maka perubahan seperti ini perlu diterima oleh setiap guru agar pelajar dapat mengikuti perkembangan semasa.

Jika ibubapa khuatir anak-anak mereka bukan sahaja melayari sesi PdPc bersama guru, bahkan ‘melencong’ ke laman web lain, maka lakukan pemantauan terhadap mereka. Apa salahnya jika kita menonton sesi PdPc bersama anak-anak. Bukankah untuk mendapatkan ilmu itu tiada batasan dan had umur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here