Bidang komputer dan kemahiran digital yang tinggi amat diperlukan dalam menjadikan Malaysia peneraju Revolusi Perindustrian Keempat (Industrial 4.0) kerana pada era ini, teknologi digital adalah penggerak utamanya.

Bukan itu sahaja, aspek celik digital dan teknologi maklumat (IT) juga sering menjadi penanda aras kepada kejayaan sesebuah negara. Jika dilihat pada masa kini tiada satu pun pekerjaan yang tidak memanfaatkan revolusi digital ini malahan asas kemahiran berkomputer juga menjadi prasyarat untuk mendapatkan pekerjaan. Ilmu IT dan kemahiran komputer kini semakin penting selari dengan pertumbuhan pantas dunia digital masa kini.

Berdasarkan kajian Prospek Pekerjaan 2019 Jobstreet.com, pekerja yang mempunyai bakat berkemahiran digital mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan seiring dengan usaha mereka ke arah transformasi digital. Kebanyakkan majikan mencari pekerja yang mempunyai kemahiran digital kerana majikan memerlukan bakat berkemahiran itu untuk menyokong pertumbuhan perniagaan.

kemahiran digital yang tinggi amat diperlukan dalam menjadikan Malaysia peneraju Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0)

Selain itu juga, kaji selidik tersebut melaporkan bahawa lima bidang utama yang berkaitan dengan kemahiran digital yang dikehendaki oleh majikan ialah pemasaran digital, perisian dan pembangunan aplikasi, e-dagang, ‘big data’ dan analisis serta kemahiran pangkalan data. Kelima-lima aspek ini diberi perhatian oleh majikan dalam usaha merangka strategi menangani cabaran Industri 4.0.

Kemahiran digital semakin penting dalam bidang pekerjaan kerana pekerja yang mempunyai kemahiran tersebut mampu menjana pembinaan daya kreativiti dan inovasi selain mempunyai kecekapan dalam menggunakan teknologi untuk mengakses maklumat daripada pelbagai sumber sejajar dengan perkembangan global.

Tambahan lagi, perubahan yang berlaku akibat fenomena Industri 4.0 memerlukan sumber manusia iaitu pekerja yang bukan sahaja berpengetahuan luas malah penting untuk mempunyai kemahiran yang tinggi agar daya saing dapat diperkasakan.

kreativiti dan inovasi, literasi teknologi serta kecerdasan emosi dianggap sebagai kemahiran tiga teratas yang perlu ada pada seseorang pekerja di era Industri 4.0

Realiti pada hari ini menunjukkan bahawa pembangunan sumber manusia menjadi tumpuan utama organisasi dalam menangani perubahan persekitaran. Oleh itu, sebagai pekerja mereka perlulah melengkapkan keupayaan diri dalam menangani tuntutan Industri 4.0. Bagi graduan pula, mereka perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran baharu sebagai usaha mendepani cabaran akan datang bagi memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here