Kemalangan di tempat kerja adalah bencana atau kecelakaan yang berlaku ketika di tempat kerja seperti terjatuh dari tempat tinggi semasa bekerja di tapak pembinaan dan sebagainya. Tanpa masyarakat sedari sebenarnya masyarakat lebih berisiko untuk mendapat kemalangan di tempat kerja berbanding kemalangan di jalan raya. Ini kerana tempoh pekerja berada di tempat kerja lebih lama. Malah ramai beranggapan kemalangan di tempat kerja ini hanya melibatkan kerja di kawasan tapak projek pembinaan, perlombongan dan kilang seperti kuari serta yang melibatkan kerja buruh. Sebenarnya ia merangkumi semua tempat pekerjaan dari kerja di pejabat sehinggalah ke ladang seperti pertanian, perhutanan, perikanan, pengangkutan, penyimpanan, komunikasi, perkhidmatan gas, elektrik, perdagangan borong dan runcit, kewangan, hotel, restoran dan lain-lain lagi.

Sektor pembinaan mencatatkan jumlah kematian tertinggi akibat kemalangan pekerjaan. Statistik JKKP menunjukkan, 112 daripada 183 kes kemalangan maut yang direkodkan di tapak pembinaan seluruh negara sepanjang tahun lalu, membabitkan pekerja asing berbanding hanya 71 pekerja warga tempatan. Secara keseluruhan, jumlah kemalangan di tapak pembinaan pada 2016 ialah 4,269 kes dan 4,266 kes lagi pada 2017. Pekerja tempatan terbabit kemalangan pada 2016 pula 3,692 orang sebelum meningkat kepada 3,866 tahun lalu. Jumlah pekerja asing terbabit kemalangan di tapak pembinaan di seluruh negara pada 2017 pula seramai 400 orang. Kemalangan ini berlaku disebabkan terdapat segelintir majikan memandang remeh aspek keselamatan, khususnya gagal menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada pekerja, dipercayai bagi menjimatkan kos. PPE meliputi pakaian dan peralatan tambahan atau aksesori yang digunakan untuk melindungi pekerja daripada bahaya di tempat kerja. Tanpa PPE atau penggunaan PPE rosak, pekerja dalam keadaan berisiko.

Maut akibat kemalangan pekerjaan tertinggi di sektor pembinaan

Oleh itu, kerjasama semua pihak seperti keselamatan dan kesihatan, penyelia keselamatan tapak pembinaan, pengendali perancah, operator kren dan lain-lain amat penting untuk memastikan isu keselamatan ini dapat dikawal dan langkah pencegahan diberi perhatian yang sewajarnya. Majikan yang gagal mematuhi peraturan keselamatan di tempat kerja boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, selain Akta Kilang dan Jentera 1967 yang memperuntukkan denda RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Selain itu, JKKP turut memperkenalkan garis panduan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Industri (OSHCIM) yang memberi perhatian terhadap segenap aspek keselamatan yang perlu dipatuhi pemaju, kontraktor dan konsultan. Menerusi OSHCIM, langkah keselamatan sudah diambil pada peringkat awal sebelum sesuatu projek diluluskan. Contohnya, reka bentuk selamat tingkap, bangunan pencakar langir supaya mudah dicuci tanpa risiko keselamatan yang tinggi. JKKP juga sedang meminda Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, bagi memperkasakan perundangan berkaitan, selain meningkatkan jumlah denda dan tanggungjawab menangani isu keselamatan di tapak pembinaan.

Majikan dan pekerja perlu jadikan OSH sebagai budaya kerja

Justeru itu, faktor keselamatan pekerja bukan sahaja melibatkan pekerja bahkan orang awam yang berada di sekeliling. Semua insiden dan masalah yang berlaku menunjukkan bahawa tahap keselamatan di tempat kerja perlu ditingkatkan lagi. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu sentiasa memupuk serta mengamalkan budaya kerja yang berhemah dan sentiasa berwaspada. Semua pekerja perlu lebih peka terhadap aspek keselamatan dan perlu menjadikannya sebagai nilai teras dalam diri. Perkara ini mesti terus diterapkan ke dalam minda setiap orang terutamanya di tempat kerja supaya kecuaian dapat dicegah dan keselamatan lebih terjamin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here