Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan keyakinan beliau bahawa Malaysia berkemampuan menjadi antara negara yang melaksanakan pembangunan dan penyelidikan vaksin koronavirus baharu (Covid-19). Selain itu, Pensyarah Kanan di Kluster Kesihatan Persekitaran, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nurul Yuziana Mohd Yusof juga turut menyatakan pendapat beliau bahawa serangan pandemik Covid-19 kepada dunia seharusnya memberikan kesedaran kepada negara dalam mempergiatkan penghasilan vaksin.

Melihat kepada kepakaran yang dimiliki Malaysia sama ada dari Universiti Awam (UA) atau swasta, Malaysia mungkin mampu menghasilkan penemuan bermakna dalam usaha menghasilkan vaksin. Maka, impian untuk menghasilkan vaksin sendiri bukanlah sesuatu yang mustahil sekiranya kepakaran tempatan berpeluang bekerjasama dengan kepakaran luar dalam menghasilkan vaksin sendiri.

Kita bukan sahaja dapat menjimatkan berbilion ringgit malah, negara juga akan mendapat akses penuh kepada pemberian vaksin. Tidak seperti sekarang kita terpaksa bersaing dengan negara-negara kaya dan maju untuk mendapatkan vaksin.

Sampai bila kita mahu kekal sebagai pengguna? Bayangkan jika Malaysia menjadi antara pengeluar vaksin pada masa hadapan, nyawa dan keselamatan rakyat Malaysia akan menjadi yang terawal boleh diselamatkan. Di samping itu, data-data hasil daripada penyelidikan terdahulu sudah pasti akan menjadi rujukan pada masa hadapan sekiranya kita berhadapan dengan virus variasi baru pada masa akan datang. Semua keputusan atas kepentingan umum bergantung kepada fakta dan data. Ia akan menajdi salah satu usaha Malaysia dalam memperkuatkan lagi benteng sistem kesihatan negara pada masa hadapan.

Kita perlu keluar dari zon selesa di mana asyik menunggu negara lain menjadi pengeluar dan seterusnya mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada kuasa besar. Walaupun kita tidak berjaya mencapai status negara maju pada tahun 2020, itu tidak bermakna ia akan merencatkan usaha kita dari terus membangun secara konsisten.

Justeru itu, usaha dalam merealisasikan vaksin sendiri perlu bermula dari sekarang dengan perancangan dan strategi yang lebih teliti serta teratur. Maka, dalam usaha kita menubuhkan institusi penyelidikan ini pemahaman dan sokongon rakyat adalah sangat penting supaya segala semua usaha akan berjalan lancar. Bayangkan suatu hari nanti kita mungkin menjadi negara Islam pertama yang mengeluarkan vaksin berstatus halal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here