Kemelut dalam Barisan Nasional (BN) dilihat semakin hampir ke kemuncaknya apabila dua parti komponen sekutunya, Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC) mengambil keputusan untuk keluar dari gabungan parti berkenaan. Memetik dari kenyataan akhbar yang ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti berkenaan berkata, mereka tidak mempunyai alasan lain selain dari meninggalkan BN kerana asas pembentukan BN kini terancam apabila semangat hormat-menghormati antara satu sama lain tidak lagi wujud apabila ada yang mengeluarkan kenyataan yang meretakkan lagi hubungan yang ada dalam kalangan parti komponen.

Selain itu, MCA dan MIC juga membayangkan bahawa mereka akan membentuk satu pakatan baharu yang mencerminkan maksud sebenar perpaduan dalam kepelbagaian yang diperjuangkan parti berkenaan. Namun, keputusan itu hanya akan dibuat selepas Majlis Tertinggi BN mengadakan mesyuarat bagi membincangkan masa depan parti itu, sama ada komponen tiga parti itu perlu diteruskan atau dibubarkan berdasarkan perkembangan semasa politik membabitkan parti berkenaan.

MCA dan MIC membayangkan akan keluar daripada gabungan BN dan membentuk pakatan baru

Di samping itu, keputusan MCA dan MIC yang bertindak untuk keluar dari BN dikatakan berpunca daripada ketidakpuasan hati parti-parti berkenaan dalam isu pelantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebagai Setiausaha Agung BN yang dianggap tidak sah dan tidak dapat diterima oleh MCA dan MIC. Ini ditambah lagi dengan kenyataan terbaru Mohamed Nazri yang berbaur perkauman pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri  Semenyih merosakkan lagi hubungan baik antara ketiga-tiga parti pengasas komponen itu.

Satu tinjauan telah dilakukan ke atas beberapa media sosial mendapati sebilangan besar rakyat Malaysia amat bersetuju dengan keputusan MCA dan MIC untuk keluar dari BN. Hal ini kerana mereka lihat tidak ada gunanya untuk kedua parti berkenaan mengekalkan gabungan ini sekiranya MCA dan MIC sentiasa dipinggirkan oleh UMNO. Seorang pengguna Facebook, Gun Kee Sin berkata, MCA dan MIC telah melakukan keputusan yang sangat tepat kerana sepanjang kedua parti berkenaan berada di dalam gabungan BN, mereka sering sahaja dibuli dan dipinggirkan serta tidak membawa sebarang faedah langsung.

Keputusan MCA dan MIC untuk keluar dari gabungan komponen BN dikatakan berhubungkait dengan pelantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebagai Setiausaha Agung BN

Seorang lagi netizen, Raffsharw Sharw berkata hal ini sememangnya perkara yang amat menyedihkan. Beliau juga menyarankan agar MCA dan MIC mempertimbangkan semula keputusan ini dengan mengadakan pertemuan semula bersama ketiga-tiga parti komponen dan mencari jalan solusi berkenaan perkara ini. Tambahnya, beliau juga yakin bahawa kerjasama antara PAS dan UMNO tidak akan mendatangkan kesan kepada parti-parti berkenaan.

Keputusan MCA dan MIC untuk keluar daripada gabungan BN sememangnya memberi kelebihan dan laluan mudah kepada Pakatan Harapan (PH) dalam mendapatkan sokongan 100% rakyat Malaysia khususnya dari kalangan orang bukan Melayu. Hal ini kerana dengan kerapuhan hubungan di antara ketiga-tiga parti komponen BN, maka sudah pasti rakyat negara ini sudah lagi tidak mempercayai keupayaan BN dalam mentadbir negara. Ia ditambah lagi dengan isu-isu skandal para pemimpinnya yang tidak berkesudahan serta ketaksuban mereka dalam merangka segala agenda jahat bagi menjatuhkan kerajaan PH.

Di samping itu, keuntungan juga dilihat berpihak kepada PH kerana mereka boleh membentuk satu pakatan baharu demi menguatkan sokongan rakyat kepada PH seterusnya dapat mengekalkan pemerintahan PH dalam kerajaan dan negara. Keputusan MCA dan MIC untuk keluar daripada gabungan BN sememangnya satu langkah yang berani dilakukan dan menampakkan krisis dalaman yang berlaku dalam BN. Walaupun mereka sudah bersama selama 61 tahun, tetapi hubungan MCA dan MIC dalam BN umpama ‘retak menanti belah’.

Kini, tibalah masanya buat PH menggunakan peluang sepenuhnya untuk meraih kembali sokongan rakyat Malaysia ke atas kepimpinan mereka melalui pengunduran MCA dan MIC daripada gabungan BN. Melalui cara ini, rakyat dapat melihat keutuhan hubungan di antara pimpinan PH yang sentiasa bekerjasama bagi memulihkan negara ini meskipun berlainan bangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here