Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah berjaya mengekalkan kerusi Parlimen P.186 Sandakan yang disandang oleh mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt setelah anak perempuan beliau, Vivian Wong telah berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini. Kerusi Parlimen tersebut kekal menjadi milik DAP setelah berjaya memenanginya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 13 daripada Barisan Nasional (BN).

Kemenangan PRK tersebut menjadikan kerajaan PH memenangi 4 daripada 7 PRK sejak PH mentadbir negara berikutan peralihan kuasa pada PRU14 lalu. Ia juga membawa mesej bahawa sokongan rakyat kepada PH masih kukuh dan juga menunjukkan Sabah kini telah menjadi kubu kuat PH sejak Warisan menjadi kerajaan Negeri dibawah pimpinan Datuk Seri Shafiee Apdal.

Ahli Parlimen Sandakan baru, Vivian Wong akan menyambung legasi mendiang bapanya di Sandakan

Selain itu, keputusan PRK P.186 menunjukkan sokongan BN di Sabah semakin malap dan ia menjadi punca kenapa gabungan BN-PAS tidak bertanding di Sabah. Desas-desus MCA yang akan bertanding juga tenggelam sehinggalah PBS menjadi pencabar kepada calon DAP. Tetapi, parti serpihan BN itu tetap tidak menjadi pilihan rakyat Sabah dan akhirnya DAP mendapat majoriti besar dalam PRK ini. Jadi wajar untuk dikatakan pengaruh BN kini sudah ‘mati’ di Sabah.

Impak kemenangan PRK ini juga menunjukkan kerjasama baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri supaya segala pembangunan di Sandakan dapat dilaksanakan. Kerajaan Persekutuan telah meluluskan 49 projek pembangunan dengan kos keseluruhan mencecah RM2.2 bilion di Sandakan, Sabah. Perancangan kerajaan untuk membangunkan Sandakan telah berjaya memikat hati rakyat yang sememangnya mahukan pembangunan di kawasan mereka berbanding sekadar agenda politik.

Sebelum ini, timbul spekulasi tentang sokongan rakyat terhadap kerajaan telah menurun ekoran daripada kekalahan sebanyak 3 kali berturut-turut didalam PRK Cameron Highland, Semenyih dan Rantau. Tetapi kerajaan PH telah menunjukkan mereka masih lagi mendapat sokongan oleh rakyat dan diberi peluang untuk memperbaiki kelemahan dalam mentadbir negara selama lebih setahun. Kejayaan PH dalam PRK ini perlu dihargai menteri PH kerana masih mempunyai sokongan rakyat walaupun Tun Mahathir memberikan markah 50 peratus terhadap prestasi mereka selama setahun memerintah.

KM Sabah, DS Shafiee Apdal mengucapkan tahniah kepada Vivian atas kemenangan beliau

Di samping itu, pengaruh mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan fenomena ‘Malu Apa Bossku’ di Sabah dilihat tidak mempengaruhi rakyat Sandakan untuk mengundi calon pembangkang kerana mereka optimis terhadap Vivian Wong untuk meneruskan kerja yang ditinggalkan mendiang bapa beliau. Dalam PRK sebelum ini, pengaruh Datuk Seri Najib sedikit sebanyak memainkan peranan untuk BN-PAS mendapat sokongan undi rakyat dan menang dalam PRK.

Justeru, kejayaan PRK di Sandakan telah membawa mesej rakyat masih mempercayai PH untuk mentadbir kerajaan dan menyokong kepimpinan Tun Mahathir serta Datuk Seri Shafiee Apdal. Walaupun kejayaan DAP telah pun diramal kerana Sandakan adalah kubu kuat DAP dan majoriti pengundi Sandakan adalah dari kaum Cina sebanyak 53 peratus, tetapi peningkatan majoriti telah menunjukkan Sabah masih didominasi PH. Kemenangan ini juga telah berjaya meningkatkan moral kerajaan dan menyuntik semangat parti selepas tewas dalam tiga PRK berturut-turut.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here