PBAKL atau Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang juga dikenali sebagai Kuala Lumpur International Book Fair merupakan satu acara yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pencinta buku. Tidak hairanlah ada yang menggelarkannya sebagai ‘’Hari Raya Orang Buku’’. Bagi tahun 2019, PBAKL akan berlangsung bermula dari 29 Mac sehinggalah 7 April. Ini merupakan penganjuran kali ke-38 dan menariknya bagi tahun ini, pesta ini berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 10 malam setiap hari. Berbeza dari waktu operasi sebelum-sebelum ini yang berlangsung sehingga 8 malam sahaja dan 9 malam pada hari Jumaat. Berdasarkan respons yang diterima, judul baharu tidak mungkin banyak, sama ada terbitan independent (indie) mahu pun syarikat besar yang berkelas gergasi. Sudah empat tahun industri buku merudum dan lebih 40 penerbit indie yang aktif antara 2006 hingga 2014 kini terkubur. Semuanya terkesan dan gulung tikar kerana buku kini bukan lagi menjadi pilihan masyarakat. Penerbit gergasi pula lebih banyak menghitung hutang bank dan menguruskan secara legal satu demi satu tuntutan saman pencetak. Seminggu menjelang PBAKL, penerbit lebih banyak menanggung ketakutan implikasi muflis berbanding memikirkan strategi perniagaan.

PBAKL 2019 akan berlangsung pada 29 Mac – 7 April 2019

Kos penerbitan yang semakin meningkat menyebabkan penerbit tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menerbitkan buku dengan jumlah yang terhad dan bersifat komersial untuk mengurangkan risiko kerugian. Kalau dulu cetakan pertama penerbit mungkin sebanyak 3,000 naskah, kemudian jatuh kepada 1,500 naskah. Kini penerbit sangat berhati-hati memilih judul penerbitan atau mencetak dengan jumlah kecil, iaitu mungkin 500 judul bagi cetakan pertama. Ini bermakna, buku yang bagus dan diperlukan masyarakat tidak lagi diterbitkan kalau pasaraya sangat kecil. Talian hayat industri buku sudah hilang.

Perubahan trend pembaca telah banyak berubah. Trend tersebut bukan sahaja di Malaysia tetapi juga melibatkan seluruh dunia. Pada masa sekarang, pembaca sudah celik teknologi, permintaan terhadap e-buku (penerbitan digital) sangat tinggi sesuai dengan perkembangan teknologi sesebuah negara itu. Faktor ini juga mengarah kepada kelembapan pembelian buku-buku fizikal yang diterbitkan. Situasi sudah berubah, masyarakat pembaca pada zaman ledakan teknologi menggemari maklumat dan bahan bacaan yang boleh didapati di hujung jari.

Statistik menunjukkan purata kadar kesanggupan pembeli buku hanya dalam lingkungan Rm100-200 sahaja

Namun apa yang merunsingkan terutama bagi mereka yang terbabit dalam dunia penerbitan buku di negara ini, penerbitan digital telah meninggalkan kesan besar terhadap kegiatan mereka, termasuk implikasi terhadap masyarakat serta industri buku itu sendiri. Walaupun dari satu segi ia memudahkan penerbitan buku tetapi kos permulaannya agak mahal berbanding peralatan lama yang sedia ada. Malah, masa depan penerbit juga turut terancam akibat masalah royalti, masalah penyalinan dokumen tanpa kebenaran akan menghantui penerbit-penerbit buku dan lainnya. Walaupun wujud kawalan undang-undang, namun ia masih tidak dapat memastikan jenayah online yang lebih canggih dan sukar ditangani berbanding jika menggunakan kaedah konvensional.

Apabila pengguna beralih kepada dunia digital dan apabila telefon bimbit juga boleh memaparkan kandungan yang dicari atau dikehendaki, maka penerbitan buku yang diedarkan secara bercetak sudah menjadi tidak relevan. Penerbitan buku bercetak tidak lagi mampu bersaing dengan keupayaan dan kepantasan platform digital mengemaskini berita dan informasi, baik untuk segmen yang serius atau pun hiburan.

Justeru, segala-galanya bergantung kepada daya tahan, keusahawanan dan kebijaksanaan penerbit buku untuk memahami trend semasa terutama buku bagaimana yang ingin dibaca oleh masyarakat pada masa kini. Perkembangan penerbitan digital dalam kepesatan pembangunan teknologi masih memberi ruang kepada buku bercetak untuk terus berada di pasaran. Namun apa yang mungkin berubah adalah trend pasaran buku bercetak rentetan daripada penggunaan penggunaan penerbitan digital. Di sini, penggunaan buku bercetak dan penerbitan digital saling lengkap melengkapi antara satu sama lain kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Kedua-duanya relevan digunakan, bergantung kepada kehendak dan citarasa pengguna.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here