Penggunaan beg plastik dan dikenakan bayaran bukanlah satu perkara asing dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Kempen hari tanpa beg plastik telah pun dilaksanakan pada setiap hari Sabtu di semua pasaraya yang terlibat. Namun, mulai 15 Mac 2019, penggunaan beg plastik biodegrasi juga akan dikenakan caj sebanyak 20 sen di Wilayah Persekutuan sebagai caj pencemaran.

Caj yang dikenakan itu bertujuan sebagai salah satu langkah yang diambil bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai inisiatif hijau demi menjamin kelestarian alam sekitar. Kutipan caj ini akan dikumpulkan sebagai dana yang akan digunakan untuk tujuan kempen kesedaran atau memberi beg beli belah boleh guna semula kepada orang awam.

Beg plastik merupakan ancaman kepada kehidupan dan alam sekitar

Kerajaan akan berusaha untuk terus mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan beg plastik ini kerana kesedaran mengenai bahaya penggunaan beg plastik ini masih agak rendah dalam kalangan masyarakat.

Langkah mengenakan caj beg plastik ini diharap dapat mengurangkan sisa buangan plastik. Ini kerana statistik pembuangan sisa plastik di Malaysia amat membimbangkan. Menurut Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, sumber buangan kedua terbesar adalah plastik. Plastik merupakan ancaman kepada alam sekitar kerana mengambil masa selama beratus tahun untuk lupus secara semulajadi.

Hakikatnya penggunaan bahan plastik ini mengakibatkan kemudaratan terhadap alam sekitar. Malahan penggunaan beg plastik yang berleluasa memberi kesan yang tidak baik terhadap kesihatan manusia, alam flora dan fauna juga turut sama terancam.

Penggunaan beg plastik dalam keperluan harian haruslah dikurangkan terutamanya bagi golongan suri rumah. Peraturan berkaitan penggunaan beg plastik ini perlu diketatkan lagi bagi mengurangkan pencemaran plastik yang boleh memudaratkan kehidupan.

Walaupun pelbagai kempen kesedaran mengenai keburukan penggunaan beg plastik telah dijalankan oleh pelbagai pihak, namun kesedaran masyarakat masih ditahap yang rendah. Oleh itu, mentaliti dan sikap masyarakat haruslah diubah agar segala program atau kempen yang direncanakan oleh pihak kerajaan mendapat sokongan daripada rakyat.

Golongan suri rumah perlu mengurangkan penggunaan beg plastik

Namun, kerajaan perlu terus menyampaikan pengetahuan dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keperluan mengurangkan penggunaan plastik demi mengelakkan pencemaran terhadap hidupan dan alam sekitar. Kerajaan juga perlu memberi insentif kepada pihak pengurusan yang bertanggungjawab untuk menguruskan sisa pembuangan plastik. Selain itu juga penyelidikan yang lebih mendalam perlu dilakukan untuk menambah baik lagi sektor pembuatan bahan plastik agar ia mudah dikitar semula serta mendatangkan keuntungan terhadap ekonomi negara.

Penggunaan beg plastik terlalu mendominasi kehidupan masyarakat seharian kerana ia murah, mudah dan praktikal. Mungkin sukar untuk menghapuskan sepenuhnya penggunaan beg plastik daripada kehidupan masyarakat namun penggunaanya mampu dikurangkan. Sudah tiba masanya masyarakat memberi sokongan penuh terhadap usaha kerajaan dalam menangani isu penggunaan beg plastik ini demi memelihara alam sekitar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here