Pembuangan plastik selepas hanya sekali digunakan menyebabkan lambakan sampah plastik malah lama kelamaan akan memusnahkan alam sekitar. Sememangnya sukar untuk menghentikan penggunaan plastik sekali guna memandangkan masyarakat sudah terbiasa dengan amalan membuang plastik selepas hanya sekali menggunakannya.

Namun, kerajaan tidak pernah berhenti untuk mendidik masyarakat dan untuk menggalakkan penglibatan serta kefahaman masyarakat dalam perjuangan menghentikan penggunaan plastik sekali guna, maka kerajaan mengambil inisiatif mengadakan Kempen Hindari Plastik Sekali Guna. Inisiatif ini merupakan pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia.

Kempen Hindari Plastik Sekali Guna merupakan pelan jangka panjang dalam menangani isu pencemaran plastik

Kempen-kempen sebegini mampu memberi kesedaran berterusan kepada masyarakat bahawa penggunaan beg plastik hanya memudaratkan kesihatan sekaligus dapat mendidik masyarakat untuk tidak bergantung kepada beg plastik dalam kegunaan harian.

Walaupun pelbagai kempen kesedaran mengenai keburukan penggunaan beg plastik telah dijalankan oleh pelbagai pihak, namun kesedaran masyarakat masih ditahap yang rendah. Namun, tidak boleh dinafikan bahawa segelintir masyarakat juga peka dengan kempen yang diadakan oleh kerajaan ini dan dapat dilihat semakin ramai yang membawa beg sendiri apabila membeli barangan di pasaraya.

Kempen tiada beg plastik dilancarkan pada Jun 2009 di Pulau Pinang

Di Malaysia, usaha untuk mengurangkan penggunaan plastik telah bermula dengan “Kempen Hari Tanpa Beg Plastik.”  Diikuti dengan inisiatif mengecaj setiap penggunaan beg plastik atas permintaan pelanggan. Berdasarkan kempen-kempen dan insiatif yang dilakukan oleh kerajaan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam menangani masalah penggunaan beg plastik sekaligus usaha untuk membendung penggunaanya akan bertambah giat dari masa ke semasa.

Mendidik masyarakat tentang meminimumkan penggunaan plastik bukanlah suatu perkara yang mudah. Pelbagai kempen telah dilakukan oleh kerajaan namun sikap segelintir masyarakat masih lagi tidak berubah. Oleh itu, masyarakat itu sendiri yang perlu mengubah sikap dan mentaliti agar setiap kempen yang dilakukan oleh kerajaan untuk mendidik masyarakat dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sudah tiba masanya masyarakat memberi sokongan penuh terhadap usaha kerajaan dalam menangani isu penggunaan beg plastik ini demi memelihara alam sekitar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here