Penggunaan internet dan media sosial kini semakin meluas di seluruh dunia dan ia tidak terkecuali di Malaysia. Penggunaan media sosial oleh warganet sebagai medium komunikasi dilihat semakin berkembang seiring dengan peredaran zaman. Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini warganet dilihat semakin agresif dalam menggunakan media sosial sehingga menyentuh isu-isu sensitif dan menjadi punca pergaduhan di media sosial. Perkara ini semakin serius apabila warganet tidak berasa malu dan bersalah menggunakan kata kesat, menghina dan membuat kenyataan berbaur perkauman di mana ia mampu mengugat keselamatan negara.

Sikap warganet yang membelakangkan etika dalam menggunakan media sosial boleh dikatakan di tahap paling rendah ketika ini. Melihat kepada perkara ini, adalah wajar sekiranya pihak berwajib mengambil langkah pencegahan sebelum perkara ini menjadi semakin parah. Masyarakat kita perlu dididik supaya lebih beretika dalam menggunakan media alternatif.

Penggunaan media alternatif secara tidak beretika beri kesan kepada perpaduan negara

Melihat kepada beberapa isu dan kejadian kebelakangan ini, kempen kesedaran untuk warganet adalah sangat penting untuk mendidik mereka menjadi lebih beretika dan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain sebagai alternatif dalam melahirkan warganet yang berpengetahuan serta bijak menggunakan medium itu ke arah yang lebih baik dan menguntungkan.

Oleh itu, kempen kesedaran untuk mendidik warganet lebih beretika perlu dilakukan segera supaya sikap ini tidak menjadi budaya dalam masyarakat kita. Seiring dengan perkembangan teknologi, kempen-kempen kesedaran tersebut boleh dilakukan menggunakan risalah melalui media sosial. Selain bertindak sebagai medium komunikasi, media juga adalah satu medium yang paling sesuai untuk dijadikan saluran kempen-kempen warganet kerana ia lebih mudah dan dekat dengan kumpulan sasaran.

Masyarakat kita perlu dididik menjadi warganet yang bertanggungjawab

Selain itu, kempen melalui forum dan program bual bicara juga adalah inisiatif yang bersesuaian untuk dilaksanakan kerana tidak semua warganet peka akan kepentingan menjaga etika dalam menggunakan media alternatif. Mungkin ada segelintir warganet berpendapat, etika di dalam penggunaan media sosial adalah tidak penting maka pihak berwajib perlu mengambil langkah proaktif supaya tanggapan itu dapat diubah demi kebaikan semua.

Di samping itu, kempen-kempen ini juga perlu dipergiatkan di sekolah-sekolah dan universiti supaya sikap beretika dapat dipupuk dalam diri mereka dari peringkat awal lagi. Hal ini kerana remaja zaman kini yang membesar dengan kemudahan teknologi lebih berpotensi besar untuk menjadi warganet tidak bertanggungjawab.

Setiap kempen yang dijalankan haruslah mempunyai satu motto yang mudah diingati oleh netizen supaya ia berkesan dan memberikan kesan positif terhadap kempen tersebut. Sebagai contoh, kempen dadah yang menggunakan motto ‘Jauhilah Dadah’ masih diingati sehingga sekarang dan sering bermain dibibir masyarakat jika isu dadah diketengahkan.

Oleh itu, sama seperti kempen-kempen yang lain, kempen mendidik warganet supaya beretika juga memerlukan satu motto supaya ia memberikan impak yang positif seperti ‘Jadilah Pintar Seperti Telefon Pintar Anda’, ‘Ethical Citizens, Peaceful Countries”, ‘Say No To Negative Comments’ dan lain-lain.

Kempen untuk mendidik masyarakat kita khususnya warganet untuk menjadi seorang yang beretika dalam menggunakan media sosial adalah penting kerana ia mampu menggugat keselamatan negara. Berada di zaman serba canggih, sikap seperti ini perlu dilihat dari satu sudut yang berbeza di mana ia sebenarnya banyak memberikan kesan negatif kepada masyarakat. Oleh itu, kerajaan perlu menjalankan kempen secara agresif dan berterusan supaya masyarakat kita tidak terus hanyut dalam menggunakan media sosial secara tidak beretika.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here