Masalah kos sara hidup yang semakin meningkat bukan sahaja dirasai oleh penduduk kota, bahkan kesannya juga sampai hingga ke penduduk kampung. Namun, kebanyakan daripada masyarakat meletakkan kesalahannya kepada pihak kerajaan, peruncit dan peniaga akibat daripada peningkatan kos.

Sebenarnya peningkatan kos ini merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan kerana ianya seiring dengan peredaran masa. Tetapi bagaimana cara masyarakat untuk menangani masalah peningkatan kos, terpulang pada kreativiti, semangat dan kerajinan masing-masing.

Antara langkah penjimatan yang sering digunakan oleh golongan suri rumah

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) telah menjalankan kempen kesedaran #StopPembaziran. Kempen ini bertujuan untuk menggesa pengguna supaya menjadi lebih bertanggungjawab dan bijak dalam menguruskan perbelanjaan.

Terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan oleh masyarakat untuk menjimatkan kos perbelanjaan. Mengikut kajian yang dijalankan oleh PPIM, sebanyak 20 hingga 30 peratus perbelanjaan boleh dikurangkan sekiranya pengguna menjadi lebih bijak. Misalnya jimatkan pengunaan elektrik, air dan minyak kereta.

Kempen yang dilancarkan oleh PPIM ini perlu mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan supaya masyarakat dapat memahami lebih lagi mengenai langkah-langkah untuk menjimatkan kos perbelanjaan.

Secara dasarnya banyak langkah penjimatan yang boleh digunakan oleh masyarakat kota, misalnya menanam sayur-sayuran dan menggunakan perkhidmatan awam. Konsep penanaman di rumah seperti hidroponik mungkin menelan kos dan belanja yang agak tinggi pada peringkat permulaan. Untuk melalui langkah ini, kerajaan mungkin boleh membantu masyarakat dengan menjual barang-barang penanaman hidroponik pada harga murah di Kedai Harapan milik kerajaan Malaysia.

Konsep hidroponik sesuai ditanam di rumah yang berkeluasan kecil dan terhad

Mengenai perkhidmatan awam di Malaysia, secara umumnya kerajaan telah ‘berusaha keras’ dengan melakukan pelbagai penambahbaikan untuk memberi keselesaan kepada masyarakat supaya terus menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.

Oleh itu, selebihnya terpulang kepada kebijaksanaan pengguna untuk menikmati kemudahan yang telah disediakan. Perkhidmatan awam ini bukan sahaja mampu membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah menjimatkan kos tol dan minyak yang sering menjadi rungutan masyarakat hari ini.

Walaupun kumpulan sasaran yang ditetapkan oleh PPIM adalah di kalangan warga kota, namun penduduk pinggir kota atau kampung juga perlu peka dengan langkah penjimatan agar tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.

Berjimat bukan bermaksud kedekut, tetapi suatu amalan yang mendidik masyarakat untuk berdisiplin dan menghargai apa sahaja yang menjadi milik kita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here