Baru-baru ini sekumpulan pelajar daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur telah mengadakan satu demonstrasi di hadapan pintu pagar kampus tersebut bagi menyuarakan bantahan terhadap kenaikan yuran semester sejak tahun 2015. Kumpulan pelajar tersebut merupakan pelajar dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) dan disertai juga aktivis mahasiswa dari Gabungan Kebebasan Akademik.

Yuran MJIIT dikatakan telah dinaikkan dari RM945 kepada RM5,000 untuk satu semester sejak empat tahun lepas. Menurut dari laman sesawang MJIIT UTM, pelajar institut tersebut perlu membayar sebanyak RM40,000 untuk menghabiskan pembelajaran sebanyak lapan semester. Yuran tersebut mengandungi yuran pendaftaran, yuran perkhidmatan, yuran pelajaran dan yuran pelajaran khas MJIIT.

Pelajar UTM melakukan protes kerana kenaikan yuran MJIIT sejak empat tahun lepas

Peningkatan yuran tersebut disebabkan oleh tambahan bayaran MJIIT setiap pelajar untuk Global Mobiliti Program (GMP) sebanyak RM10,000 setahun dan Latihan Industri (LI) sebanyak RM7,606.50 setahun. Kos GMP termasuk yuran semester pendek, penginapan, tiket penerbangan dan elaun pengangkutan. Akan tetapi, yuran tersebut tidak termasuk elaun sara hidup kerana langkah penjimatan oleh pihak UTM.

Peningkatan kenaikan yuran UTM ini telah memberi kesan kepada pelajar kerana ianya telah menambah beban kewangan mereka untuk melanjutkan pelajaran. Yuran sebanyak RM5,000 dilihat sangat tinggi untuk pelajar yang mengambil Ijazah Sarjana Muda universiti awam. Walaupun MJIIT ini merupakan sebuah entiti berautonomi dan tidak mendapat peruntukan operasi dari pihak kerajaan, pihak universiti perlu mengambil langkah untuk meringankan beban para pelajar.

Di samping itu, peningkatan yuran IPTA ini bukan sahaja berlaku di UTM sahaja tetapi di Universiti Malaya (UM) pada Oktober 2018 juga terdapat peningkatan yuran sebanyak RM50 untuk pelajar tempatan. Sesetengah pelajar tidak mendapat bantuan biasiswa atau membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Jika peningkatan yuran ini masih terjadi, ia boleh menyebabkan pelajar tidak menyambung pelajaran kerana tidak mampu untuk membayar yuran pengajian IPTA.

UM telah menaikkan yuran pengajian sebanyak RM50 pada Oktober tahun lalu

Oleh kerana itu pihak kerajaan perlu mengambil perhatian terhadap perkara ini kerana peningkatan yuran ini boleh terjadi kepada IPTA lain pada masa akan datang. Kerajaan seharusnya merangka formula baru untuk IPTA menjana pendapatan mereka sendiri dan tidak mengharapkan geran serta dana universiti awam dari kerajaan sahaja. Kementerian Pendidikan Malaysia juga perlu mengadakan perjumpaan bersama pihak universiti untuk membincangkan tentang permasalahan pelajar tentang kenaikan yuran ini dan mencari jalan penyelesaian baik demi kebajikan pelajar.

Justeru, pihak kerajaan dan IPTA perlu bersama-sama untuk menyelesaikan masalah kenaikan yuran IPTA ini kerana ianya boleh membebankan pelajar universiti tersebut. Demonstrasi yang dilakukan pelajar MJIIT UTM itu telah menunjukkan perkara ini perlu diberi perhatian kerana ianya melibatkan kewangan dan masa depan pelajar untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here