“Irama dan Lagu, tak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan, pincanglah lagu, rosaklah seni”. Lalu bagaimana pula dengan seni yang dipolitikkan? Itu realiti yang terpaksa dihadapi masyarakat hari ini apabila ada segelintir penggiat seni yang cuba untuk mencari kelainan dalam hasil karya mereka dengan meletakkan situasi politik semasa sebagai bahan utama tanpa menyedari hal itu boleh mengundang ‘bencana’ negara.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘bencana’ negara? Apabila hasil karya diperdengarkan ia sekaligus memancing emosi rakyat sama ada dari sudut positif mahupun negatif. Seperti persembahan sebuah ‘band’ di anugerah lagu yang berprestij yang memerli beberapa individu yang dilanda kontroversi baru-baru ini. Persembahan itu mengundang seribu satu kecaman dek kerana penggunaan watak figura ahli politik di atas pentas yang berkait dengan situasi semasa politik baru-baru ini.

Selain lagu, persembahan juga menimbulkan pelbagai tafsiran manusia

Dalam perkara ini, tidak salah sekiranya penggiat industri hiburan tanah air mahu menghasilkan suatu karya yang berbentuk pengajaran. Akan tetapi, ia haruslah dihasilkan dalam bentuk teguran yang berhemah dan tidak sesekali menjatuhkan maruah seseorang. Banyak sahaja contoh lagu yang memberi teguran mengenai keadaan semasa yang terjadi hari ini tidak kira dari sudut kehidupan sosial mahupun politik.

Sebagai contoh, lagu ‘Resam Dunia’ nyanyian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan ‘Zuhud’ nyanyian Dato’ M. Nasir bersama Kmy Kmo & Luca Sickta yang mengingatkan manusia bahawa kehidupan di dunia ini sangat singkat jadi mereka harus memperbanyakkan amalan dengan mengamalkan sikap mahmudah dan menjauhi segala sikap mazmumah. Ini sebenarnya hasil karya terbaik yang sepatutnya dicontohi oleh penggiat seni tanah air dalam menghasilkan karya berbentuk teguran dan pengajaran.

‘Zuhud’ merupakan salah satu lagu yang penuh dengan nasihat dan teguran yang tegas tetapi berhemah

Sekiranya industri muzik masih mahu dicampur aduk dengan situasi politik semasa, maka impak besar boleh berlaku ke atas rakyat dan negara. Antaranya, sudah pasti wujud perasaan benci masyarakat di kalangan pemimpin akibat salah laku yang belum pasti dilakukan oleh mereka. Ini akan menyebabkan timbulnya kumpulan-kumpulan yang cuba mencetuskan provokasi dan menyebarkan lebih banyak kebencian hingga akhirnya memecahbelahkan perpaduan.

Selain itu, impak lain yang boleh dilihat adalah dari segi pembangunan negara. Dengan adanya teknologi di hujung jari, segalanya mungkin untuk negara luar melihat tentang keburukan negara ini menerusi hiburan yang dibawa. Impaknya? Sudah pasti Malaysia akan menerima pandangan negatif dunia apatah lagi negara ini terkenal dengan adat dan budaya warisan yang tinggi.

Kini, sudah sampai masanya bagi kerajaan mahupun penggiat seni untuk saling bekerjasama dalam memantau isu hasil karya yang digunakan untuk tujuan politik. Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (MCMC) haruslah menggariskan satu undang-undang bagi pencipta lirik dan komposer menghantar hasil karya mereka untuk diteliti dan ditapis. Ia perlu dalam menjaga sensitiviti masyarakat tidak kira di dalam mahupun luar negara. Walaupun muzik bersifat universal, tetapi adab dan penggunaan bahasa juga harus dijaga dan diutamakan. Ini penting dalam membentuk jati diri manusia agar tidak terpengaruh dengan suatu hal hingga menjadi terlampau ekstrem.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here