Malaysia merupakan sebuah negara unik kerana mempunyai kepelbagaian agama, bangsa dan budaya yang jarang dilihat jika dibandingkan dengan negara lain. Sejak bertahun-tahun lamanya, rakyat Malaysia sudah didedahkan tentang kepentingan menghormati agama, budaya dan amalan keagamaan bangsa lain.

Kepelbagaian yang unik ini juga sepatutnya dirai dan menjadi kebangaan rakyat kita kerana ia sudah menjadi tarikan bagi pelancong luar melihat keharmonian masyarakat negara ini. Saban tahun rakyat Malaysia menyambut pelbagai hari perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai, Hari Krismas dan lain-lain lagi yang disambut bersama-sama kerana ini merupakan contoh keharmonian masyarakat kita sejak merdeka lagi.

Malah, nikmat keharmonian dan semangat perpaduan yang dinikmati ini merupakan hasil perjuangan generasi terdahulu yang telah berkorban segenap jiwa raga bagi merealisasikan perpaduan serta semangat muhibah masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Sebab itulah, hari ini kita melihat orang Melayu, Cina, India dan Bumiputera boleh hidup bersama-sama serta bergantung antara satu sama lain.

Keunikan Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum

Walau bagaimanapun, isu mengenai rusuhan di kawasan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya baru-baru ini sangat membimbangkan jika tidak diurus dengan baik oleh pelbagai pihak. Ada sesetengah pihak cuba mengaitkan isu ini dengan perkauman dan sikap  menuding jari dengan mencari kesalahan dari jalan penyelesaian boleh mewujudkan ketegangan kaum. Ini menunjukkan pentingnya kesedaran untuk saling menghormati agama dan budaya untuk mengelakkan sebarang krisis melibatkan perkauman.

Sejak kebelakangan ini juga, sikap menghormati budaya dan agama lain semakin hari kian terhakis akibat daripada perselisihan politik di antara parti-parti politik sehingga ke tahap memperkecil-kecilkan amalan agama masyarakat tertentu. Isu agama tidak sepatutnya dijadikan bahan politik kerana jika isu-isu berkaitan agama digunakan untuk untuk mempersendakan individu atau kaum tertentu maka konsep politik begini harus dibuang kerana menggugat keharmonian kaum.

Oleh kerana itu, rakyat Malaysia perlu mematuhi undang-undang negara yang menekankan tentang kepentingan menghormati agama dan budaya di negara ini. Walaupun Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan untuk bercakap dan bersuara, tidak semestinya hak tersebut digunakan untuk menyentuh isu sensitiviti agama serta budaya lain. Sebab itulah Malaysia mempunyai undang-undang yang menghukum mana-mana individu cuba meniupkan api perkauman seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika negara tidak mempunyai undang-undang khusus untuk mencegah kenyataan berbaur hasutan, nescaya keamanan yang dikecapi kini tidak akan dinikmati seluruh rakyat Malaysia. Tidak mustahil juga insiden yang tidak diingini seperti yang terjadi pada 13 Mei 1969 berulang kembali kerana ‘kebebasan’ untuk menghasut tidak dicegah dari awal.

Justeru wajar untuk seluruh rakyat Malaysia menghormati agama dan budaya masing-masing bagi mengelakkan sebarang konflik yang boleh menghancurkan negara. Perbezaan dan kepelbagaian ini perlu ditangani dan diuruskan sebaik mungkin untuk mengelakkan tercetusnya sebarang perkara tidak diingini.  Para pemimpin institusi pendidikan terutamanya guru-guru perlu mewujudkan perancangan strategik memupuk semangat perpaduan dan patriotisme melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan kesukanan di sekolah.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dengan keamanan yang berjaya dikecapi pada hari ini di samping dapat mengekalkan keharmonian antara kaum yang berbilang bangsa di mana seluruh masyarakat hidup dalam sebuah komuniti. Oleh demikian, walaupun ada perbezaan ideologi politik, rakyat haruslah mengawalnya supaya tidak menjadi tegang serta menjaga hubungan baik sesama masyarakat dengan keharmonian yang telah terbina sekian lama.

Keharmonian negara perlu dipertahankan untuk generasi akan datang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here