Pilihanraya Kecil (PRK) Cameron Highland, milik Barisan Nasional (BN). PRK Semenyih, sekali lagi milik BN. Terbaru, PRK Rantau yang berlangsung pada 13 April lalu turut dimenangi oleh BN. Dalam tempoh kurang daripada enam bulan, BN sudah mencipta sejarah dengan melakarkan kemenangan hatrik dalam tiga PRK baru-baru ini menewaskan calon kerajaan dengan jurang undi yang besar. Di mana silapnya? Apa yang pasti, ini adalah “signal amaran” kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa rakyat sudah mula menilai segala gerak-geri serta cara kerja mereka dalam mentadbir negara Malaysia.

Kemenangan Tok Mat pada PRK DUN Rantau melengkapkan hatrik kemenangan BN.

Kemenangan BN dalam tiga siri PRK yang lalu seakan memberi tamparan hebat kepada kerajaan. Mana tidaknya, mereka sebagai parti Kerajaan Pusat seharusnya mendapat lebih sokongan rakyat berbanding parti pembangkang. Namun, perkara sebaliknya terjadi apabila setiap kali kempen yang diadakan, rakyat lebih berminat untuk mendengar kempen parti pembangkang. Apa yang boleh dikatakan, kekalahan PH dalam tiga siri PRK sebelum ini didorong oleh pelbagai faktor. Antara faktor-faktor tersebut adalah janji-janji manifesto yang dilaungkan semasa PRU14 yang lalu masih lagi tidak ditunaikan oleh kerajaan sehingga kini. Ia sekali gus menunjukkan kekecewaan masyarakat yang amat sensitif dengan keadaan sekitar, terutamanya dengan janji-janji yang ditaburkan oleh kerajaan hari ini.

Selain itu, prestasi buruk beberapa menteri Kabinet PH turut menjadi salah satu penyumbang kepada kekalahan PH dalam ketiga-tiga PRK sebelum ini. Hal ini kerana rakyat Malaysia pada hari ini amat sensitif terhadap dasar-dasar dan langkah diperkenalkan oleh beberapa menteri Kabinet ber¬kenaan sejak menjadi kerajaan sejak setahun yang lalu. Malah, sebilangan kenyataan-kenya¬taan dikeluarkan beberapa menteri Kabinet juga menjadi bahan jenaka warganet dan tular dalam media sosial. Ini mengakibatkan sebilangan besar rakyat negara ini beralih arah dengan menyokong parti pembangkang kerana mereka merasakan dasar-dasar yang dibawa pembangkang jauh lebih relevan dari Kerajaan Pusat.

Dalam hal ini, Kerajaan Pusat seharusnya mengambil banyak iktibar dari kemenangan hatrik pembangkang. Kerajaan harus sedar bahawa rakyat negara ini bukan seperti 62 tahun lalu di mana mereka boleh “digula-gulakan” dengan janji kosong. Mereka menilai cara kerja kerajaan menerusi manifesto yang dibentangkan. Kerajaan seharusnya belajar untuk menjadi yang lebih relevan dalam merangka serta mengkaji dasar-dasar yang akan diperkenalkan kepada rakyat. Bukan sekadar bentang dan kemudiannya dikaji.

Para Menteri Kabinet pada hari ini perlu mencari solusi secara proaktif bagi meraih semula sokongan rakyat Malaysia

Ironinya, apa yang perlu dilakukan kerajaan jika mahu meraih kembali sokongan rakyat terhadap mereka dan seterusnya menjadi yang signifikan di mata rakyat Malaysia adalah dengan mengkaji secara penuh manifesto-manifesto yang dibentangkan pada PRU14 dan menunaikannya secara beransur-ansur. Bukan itu sahaja, Menteri-Menteri Kabinet juga hendaklah memantau segala gerak kerja dan atitud para ADUN dan Ahli Parlimen mereka agar tidak melakukan kerja yang diamanahkan menjadi separuh jalan. Ini kerana ia akan menyebabkan rakyat berada dalam kesusahan akibat kerja yang tidak diselesaikan dengan sempurna.

Kemenangan hatrik parti pembangkang dalam PRK baru-baru ini telah memperlihatkan sentimen kepercayaan rakyat negara ini terhadap Kerajaan Pusat mulai menurun sedikit demi sedikit. Mereka mula merasakan bahawa kerajaan hari ini merupakan kerajaan yang penuh dengan kekusutan dari segi susun atur kerja dan pentadbirannya. Selain itu, mereka juga turut merasakan bahawa mereka ditipu dan ditindas akibat daripada janji dan manifesto yang diutarakan sebelum ini tidak dilaksanakan. Perkara ini tidak seharusnya berlaku di dalam pentadbiran kerajaan PH.

Kerajaan disarankan agar berhenti untuk meletakkan kesalahan terhadap kerajaan terdahulu dan memulakan segera gerak kerja yang pernah dijanjikan sebelum ini. Hal ini bagi meraih kembali sokongan penuh rakyat terhadap Kerajaan Pusat dan seterusnya menjadikan kerajaan pada hari ini sebuah kerajaan yang relevan dari segi cara pentadbirannya dalam memerintah negara.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here