Pada 28 Januari lalu, Kerajaan PH menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan satu skim bantuan khusus buat golongan berpendapatan rendah (B40) yang diberi nama Skim PeKa B40. Skim ini akan mula dilancarkan pada bulan Mac dan ia merupakan satu skim yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata objektif pelaksanaan skim ini adalah untuk memberi penekanan kepada pengesanan penyakit awal tidak berjangkit kepada golongan B40 terutama apabila usia meningkat, sekali gus mengurangkan bebanan kos rawatan kumpulan berkenaan. Tambahnya, bagi projek perintis, seramai 800,000 penerima bantuan dari kalangan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang berusia 50 tahun ke atas akan menerima manfaat itu berdasarkan konsep sesiapa yang membuat saringan dahulu (first come, first serve).

Skim PeKa B40 yang akan bermula pada Mac ini bertujuan untuk mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menerusi Skim ini, rakyat Malaysia yang termasuk dalam golongan B40 akan menikmati empat manfaat perkhidmatan kesihatan di bawah Skim Peduli Kesihatan. Antara manfaat tersebut adalah saringan kesihatan percuma yang merangkumi pemeriksaan kesihatan mental, klinikal payudara dan klinikal prostat (jika perlu), pemeriksaan makmal merangkumi ujian darah, diabetes, tahap kolestrol, air kencing dan fungsi buah pinggang. Kedua, bantuan alat perubatan di mana melalui manfaat bantuan tersebut penerima akan menerima bantuan dengan had maksimum RM20,000 (seumur hidup) terhad kepada kategori tertentu di hospital Kementerian Kesihatan selepas saringan dijalankan.

Selain itu, dua manfaat lain yang bakal diterima oleh rakyat Malaysia sekiranya tersenarai sebagai penerima skim ini adalah insentif melengkapkan rawatan kanser di mana sebanyak RM1,000 dibayar kepada pesakit yang melengkapkan rawatan di hospital kementerian dan bayaran secara berperingkat bergantung kepada tahap rawatan. Bukan itu sahaja, para penerima bantuan skim ini juga akan menikmati manfaat keempat iaitu insentif tambang pengangkutan iaitu insentif perjalanan bagi penerima manfaat dengan kadar maksimum sebanyak RM500 bagi Semenanjung dan RM1,000 bagi Sabah dan Sarawak bagi setiap penyakit.

Sementara itu, bagi proses mendapatkan saringan kesihatan percuma tersebut, bakal penerima bantuan skim boleh menyemak kelayakan mereka di laman web PeKa B40 yang akan berfungsi sepenuhnya Mac ini, kemudian perlu ke klinik PeKa B40 berdekatan yang dikenal pasti melalui pelekat PeKa B40 dengan membawa MyKad. Pemeriksaan kesihatan akan dilakukan ketika lawatan pertama di klinik dan lawatan kedua adalah bagi keputusan makmal, seterusnya ke klinik kerajaan.

Seramai 800,000 golongan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berusia 50 tahun ke atas bakal menikmati manfaat daripada Skim PeKa B40.

Melalui Skim PeKa B40, sudah pasti rakyat Malaysia akan menikmati kebaikan daripada manfaat-manfaat yang disediakan oleh kerajaan demi melestarikan kehidupan masyarakat negara ini agar sentiasa sihat dan sejahtera. Antara kebaikan yang dapat dilihat menerusi skim ini adalah rakyat tidak perlu lagi memikirkan kos rawatan mereka kerana ianya sudah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Selain itu, rakyat juga akan menikmati sesi rawatan yang terbaik daripada hospital dan pusat kesihatan kerajaan dengan rawatan ‘first class’. Ini kerana dengan peruntukan yang disediakan, sudah pasti kerajaan akan menyediakan segala peralatan lengkap dan baharu demi untuk memberi keselesaan kepada penerima bantuan skim ini.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya menunjukkan rasa syukur dan berterima kasih kita terhadap kerajaan atas segala usaha yang dilakukan demi untuk kesejahteraan rakyat negara ini. Kerajaan hari ini sememangnya kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan para rakyatnya agar tidak dihimpit dengan beban kos sara hidup yang tinggi. Ini sebagai bukti mereka kepada rakyat melalui janji yang mereka kotakan untuk menjadi kerajaan yang sentiasa mengambil peduli dan bertanggungjawab ke atas nasib rakyat Malaysia agar hidup harmoni dan sejahtera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here