Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 29 Januari lalu adalah sebuah pelan khusus yang dibangunkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain dalam menangani isu rasuah yang semakin berleluasa di negara ini.

Pelan ini dirangka berdasarkan 22 strategi yang akan diberikan keutamaan khususnya kepada enam sektor utama di mana ia mengandungi 115 inisiatif anti rasuah merangkumi enam sektor iaitu politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP) adalah usaha dari kerajaan dalam membendung gejala rasuah di kalangan rakyat Malaysia dari terus merebak

Malah, tujuan utama pelaksanaan pelan tersebut adalah meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti bagi pentadbir kerajaan selain mewujudkan persekitaran perniagaan yang bersih selain untuk menegakkan kedaulatan undang-undang. Bahkan, pelan ini juga sebagai peringatan kepada semua rakyat Malaysia termasuk pemimpin politik dan pemerintah kerajaan pada hari ini bahawa amalan rasuah yang diamalkan dalam apa cara sekalipun sememangnya satu amalan keji dan menjijikkan.

Menurut satu kajian yang dijalankan Transparency International (TI), Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia berada pada tangga ke 62 daripada 180 buah negara pada tahun 2017 berbanding pada tangga ke 55 daripada 176 negara pada 2016. Manakala pada peringkat ASEAN, Malaysia berada di kedudukan ketiga selepas Singapura dan di peringkat negara-negara Islam di tangga kelima. Berdasarkan kedudukan ini, ia sudah cukup membuktikan bahawa Malaysia masih lagi mengamalkan amalan rasuah tidak kira di mana sahaja. Jadi, pelaksanaan NACP oleh kerajaan sememangnya satu langkah yang wajar dalam membendung gejala ini dari merebak.

Di samping itu, pelaksanaan pelan ini juga dilihat mampu untuk mengurangkan kadar jenayah rasuah di Malaysia. Ini kerana dengan pelaksanaan pelan ini, ia mampu mengawal selain mengesan si perasuah dan pihak yang menerima rasuah melalui enam bidang keutamaan dan strategi pengurusan seperti mana yang dinyatakan di dalam pelan tersebut. Namun, pelaksanaan pelan ini pasti mempunyai kebaikan dan keburukannya. Antara kebaikan yang dapat dilihat daripada pelaksanaan pelan ini dapat mendidik rakyat di setiap peringkat umur berkaitan amalan rasuah yang sememangnya amalan yang tidak bermoral.

Selain itu, dengan pelaksanaan NACP ini, ia juga dapat memberikan penekanan kepada setiap pihak khususnya syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan badan-badan korporat bahawa sekiranya mereka mengamalkan amalan rasuah dan dikesan melakukan amalan tersebut, ia akan memberi satu imej yang buruk terhadap syarikat mereka bukan sahaja di Malaysia, malah di mata dunia.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan pelan tersebut akan mendapat kesan yang buruk sekiranya pihak kerajaan tidak memberi penerangan yang sebetulnya mengenai pelan ini. Malah, pelaksanaan pelan ini juga mungkin tidak mencapai sasaran yang diharapkan oleh kerana cara penyampaian berkenaan NACP dilakukan secara sambil lewa dan tidak teliti.

Oleh itu, beberapa langkah harus dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan pelan NACP ini sentiasa digunapakai dan dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia. Antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan adalah dengan mengadakan satu seminar berkenaan NACP. Ini bagi memberi kefahaman dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan NACP dan bagaimana pelaksanaannya.

Para pesalah rasuah akan dikenakan dengan hukuman yang lebih berat setelah NACP 2019-2023 dilaksanakan

Selain itu, kerajaan juga boleh menyediakan satu laman sesawang khas khusus bagi kegunaan umum dan syarikat-syarikat di negara ini sebagai garis panduan mereka untuk melaksanakan pelan ini dan seterusnya cara bagaimana ingin membuat laporan sekiranya terdapat gejala amalan rasuah di tempat mereka.

Malaysia merupakan antara negara yang sangat dihormati di seluruh dunia berikutan ketegasan pendiriannya. Jadi, dengan pelaksanaan NACP ini sudah cukup untuk membuktikan pendirian pemimpin negara ini yang bersungguh-sungguh mahu memerangi gejala amalan rasuah ini hingga ke peringkat akar umbi.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya menyokong usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini dengan menanam iltizam di dalam diri bahawa kita akan menjadi seorang rakyat Malaysia yang berintergriti dan bebas dari sebarang gejala rasuah. Ini bagi mencapai hasrat para pemimpin negara ini dalam menjadikan negara ini ‘Sifar Rasuah’ seiring dengan slogan pelan ini iaitu ‘Memecah Rantaian Rasuah’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here