Kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan menyediakan sistem baharu melibatkan pengajaran melalui teknologi maklumat. Secara peribadinya, kerajaan tolong fikir semula adakah kaedah PPSMI ini tidak membebankan pelajar dan guru.

Kebanyakan ibubapa yang berpelajaran akan menyokong sepenuhnya kaedah PPSMI, tetapi bagaimana ibubapa yang kurang berpelajaran, tidak berkemampuan dan buta IT? Adakah tanggungjawab ini akan diletakkan di bahu guru-guru sepenuhnya? Sedangkan guru juga mempunyai tanggungjawab lain. Kerajaan perlu fikirkan dari semua sudut.

Kerajaan mahu rakyat Malaysia menguasai ilmu sains di dalam Bahasa Inggeris. Tiada salahnya. Namun pedagogi pengajaran bahasa dan pedagogi pengajaran nombor jauh berbeza. Untuk mengukuhkan penguasaan bahasa tidak sepatutnya melalui Matematik yang bersifat nombor.

Perdana Menteri mahu PPSMI dikaji

Dasar PPSMI ini telah dilaksanakan pada 2003. Objektifnya sama seperti apa yang kerajaan hari ini mahukan, iaitu untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid. Tetapi selepas enam tahun pelaksanaan, ia dimansuhkan sepenuhnya pada 2012 kerana tidak berjaya.

Potensi setiap pelajar adalah berbeza. Ada pelajar yang lemah dalam menguasai bahasa, namun bijak mengira angka. Maka pelajar yang lemah menguasai bahasa akan gagal memahami angka (Matematik) jika diajar dalam Bahasa Inggeris.

Sarawak bercadang untuk melaksanakan PPSMI di sekolah kebangsaan (SK) bermula tahun hadapan. Namun 219 buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang lebih cenderung menggunakan bahasa Mandarin di dalam subjek Matematik dan Sains dibenarkan untuk meneruskan pengunaan bahasa ibunda mereka.

Persoalannya mengapa ada unsur berat sebelah di antara SK dan SJKC? Mengapa tidak ada unsur kesamarataan. Adakah Bahasa Melayu tidak layak digunakan untuk Matematik dan Sains? Bagaimana pelajar-pelajar Melayu mahu menguasai kedua-dua ‘subjek killer’ ini jika hendak memahami Bahasa Inggeris masih terkial-kial. Sedangkan pelajar Cina mudah memahami mata pelajaran ini kerana diajar menggunakan bahasa seharian mereka.

Daripada terus melaksanakan PPSMI, bukankah lebih bijak jika kerajaan terus fokus untuk memantapkan lagi program Dwibahasa (DLP) yang sememangnya menekankan sesi pembelajaran subjek Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya.

Program DLP ini bergantung pada permintaan ibu bapa dan kesediaan pihak sekolah untuk melaksanakannya. Namun, hanya sekolah rintis dan sekolah yang berkemampuan dari segi tenaga pengajar dan kelas sahaja menawarkan kelas DLP. Sebelum memutuskan untuk melaksanakan PPSMI, adakah pihak kerajaan bertanya kepada guru-guru kesanggupan mereka untuk melaksanakan dasar ini?

Sejauh mana kesanggupan guru dan pelajar untuk program PPSMI

Pada 2016 hanya 300 buah sekolah yang mempunyai kelas DLP. Oktober 2018, 1500 buah sekolah telah melibatkan diri dengan program DLP. Bermakna kedua-dua pihak bersedia untuk melaksanakan dasar yang dicadangkan oleh kerajaan.

Pelajar dan guru bukan ‘tikus makmal’ yang boleh dibuat sebagai ujikaji. Jika pelaksanaan PPSMI ini gagal seperti yang sebelumnya, maka kerajaan dengan mudah mengeluarkan arahan untuk menukar dasar.

Sedangkan ada segelintir pelajar yang telah melaksanakan PPSMI gagal di dalam mata pelajaran ini. Bukanlah mahu memanjakan mereka, namun kita perlu meneliti kemampuan setiap pihak. Jangan perjudikan masa hadapan pelajar ini semata-mata mahu mengikut logik akal kita. Penduduk Jepun boleh sahaja berjaya tanpa menguasai Bahasa Inggeris.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here