Pasti sudah ada yang mengetahui tentang peristiwa yang terjadi sepanjang minggu ini di dalam dunia politik. Ya, akibat kerakusan sang ketua, akhirnya membawa padah apabila hilangnya sokongan dan teman yang berjuang bersama-sama dalam usaha ‘menegakkan keadilan’ sama ada dengan kehadiran atau tanpa beliau di dalam parti politik tersebut. Apa kesilapan yang dia lakukan dan apa pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa tersebut?

Daripada Ka’ab bin Malik RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Dua serigala yang lapar yang dilepas di tengah kumpulan kambing, tidak lebih merosakkan jika dibandingkan dengan sifat tamak manusia terhadap harta dan kuasa yang sangat merosakkan agamanya.” (HR al-Tirmidzi)

Semua ahli politik di negara ini seharusnya tidak bersikap tamak dan gila kuasa terhadap kepimpinan negara dengan mengenepikan penyokong-penyokong yang setia untuk bangkit bersama mereka dan menunjukkan sifat setia kepada parti politik. Tapi malangnya, ramai di antara pemimpin-pemimpin ini berubah kepada sikap ‘kacang lupakan kulit’. Sifat tamak dan gila kuasa menguasai jiwa mereka lebih banyak daripada sifat empati dan semangat setiakawan. Akibatnya, satu demi satu keluar meninggalkan si pemimpin akibat rasa kecewa yang mendalam setelah jerit perih mereka tidak dihargai sebaliknya mereka yang teruk dicaci.

Pemimpin yang tamak dan ‘buta hati’ adalah punca utama sesebuah pentadbiran organisasi itu gagal. Malah, mereka yang terbabit dalam krisis berkenaan mula tamak dan berhenti mendengar ‘suara hati’ masing-masing. Memang sangat benar sekali apa yang disabdakan Rasulullah SAW, mereka yang cintakan dunia tidak akan pernah puas. Mereka akan terus-terusan berusaha untuk mencari dan mengambil sebanyak mungkin kekuasaan yang ada hingga satu tahap ketamakan terhadap kekuasaan itu akan memakan dirinya kembali.

Sabda Rasulullah SAW:

“Tidaklah seorang hamba pun yang diberi amanah oleh Allah untuk memimpin bawahannya yang pada hari kematiannya ia masih berbuat curang atau menipu rakyatnya, melainkan Allah mengharamkan syurga atasnya.” [Muttafaq alaih]

Ingatlah wahai pemimpin Islam, dengan kekuasaan kamu boleh berjaya dan dengan kekuasaan jugalah kamu boleh dijatuhkan sekelip mata. Inilah kegagalan yang harus dilalui oleh sang ketua salah sebuah parti politik di Malaysia. Akibat rasa tamak haloba, angkuh dan sombongnya, maka dia ditinggalkan sahabat dan teman seperjuangan. Sanggup berlaku zalim terhadap teman seperjuangan akibat kerakusannya untuk berkuasa. Ingat, hidup ini ibarat roda, sekejap di atas sekejap di bawah. Kezaliman hanya untuk mendapatkan kuasa tidak akan berkekalan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here