Seperti sedang membaca sebuah naskah sains fiksyen apabila kerajaan mula mempertaruhkan idea kereta nasional ketiga, kereta terbang atau ‘flying car’.  Mengikut pemahaman umum, konteks kereta terbang pasti boleh digunakan di udara dan darat. Dari sudut pemikiran yang positif tanpa perlu memikirkan konteks undang-undang dan keselamatan, pasti pengunaan kereta terbang ini mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas atau risiko kemalangan jalan raya.

Realitinya, kita perlu berpijak di bumi yang nyata. Bukanlah kerana keterhadan ilmu dan teknologi yang menjadikan kereta terbang ini satu fantasi, sedangkan pada tahun 50an dan 60an lagi saintis sudah mampu menghantar ‘space probe’ ke angkasa lepas. Namun apa yang menjadi kekangan adalah perbezaan undang-undang udara dan jalan raya.

Kereta terbang Malaysia. Adakah boleh digunakan di jalanraya

Undang-undang berkaitan penerbangan awam di Malaysia di bawah bidang kuasa Department of Civil Aviation (DCA) manakala undang-undang jalan raya pula tertakluk di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Istilah kereta terbang bermaksud ianya boleh digunakan di udara dan darat maka sudah tentulah ia tertakluk kepada kedua-dua        undang-undang yang berkaitan. Namun di dalam konteks ini, undang-undang udara dan darat tidak pernah tergabung jalin, hatta jika melibatkan undang-undang antarabangsa.

Maka jika kemalangan berlaku di udara seterusnya memberi kesan kepada pengguna jalan raya di darat, undang-undang mana yang harus diguna pakai? Pada masa ini sistem pengangkutan udara adalah antara yang paling selamat di dunia. Persoalannya, adakah selepas ini akhbar akan mula memainkan berita pemandu mabuk atau cuai terlanggar kapal terbang komersial?

Pengunaan permit atau lesen kereta terbang ini pasti bakal menjadi pertikaian di dalam Parlimen jika kerajaan serius mahu mewujudkan pengunaannya. Undang-undang baharu yang memerlukan penelitian mendalam pasti perlu dilakukan, kerana setakat ini tidak diketahui apakah telah wujud lesen untuk sebuah kenderaan yang boleh terbang dan boleh dipandu di jalan raya secara bersama.

Jika kerajaan hanya mahu melesenkan kereta terbang untuk pengunaan ambulan, teksi, bomba atau kereta peronda polis, konteks yang sama melibatkan undang-undang dan keselamatan masih perlu difikirkan.

Kereta terbang buatan Waldo Waterman pada 1937

Daripada memikirkan bagaimana mahu menjadikan kereta terbang suatu realiti, lebih baik kerajaan menjadikan kereta elektrik pandu tanpa pemandu sebagai kereta nasional ketiga. Sudah pasti kerajaan hanya perlu memikirkan skop teknologi pembuatan kereta dan undang-undang darat sahaja, tanpa melibatkan undang-undang penerbangan awam.

Kereta terbang bukan suatu fantasi kerana pernah dihasilkan oleh Waldo Waterman pada tahun 1930-an. Tetapi ia adalah satu teknologi yang melibatkan keterbatasan undang-undang dan keselamatan yang sangat kompleks untuk dibincangkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here