Kewujudan kereta usang, buruk dan rosak yang dibiarkan tersadai di kawasan perumahan mahupun di bandar raya telah mencacatkan pemandangan ibu kota. Lebih memburukkan keadaan apabila terdapat lot parkir yang dikhususkan untuk orang awam ‘dikuasai’ oleh kereta-kereta usang yang dibiarkan tersadai sekian lama.

Berdasarkan rekod DBKL, pada tahun 2018 kenderaan tersadai yang dikenakan tindakan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 2,703 kenderaan berbanding 1,989 kenderaan pada tahun 2017.

Keadaan ini berlaku apabila pemilik kenderaan tersebut mempunyai kenderaan baharu dan sesetengahnya tidak mampu untuk membaiki kenderaan lama yang akan menelan kos perbelanjaan yang tinggi untuk dibaiki. Akhirnya kenderaan tersebut dibiarkan tersadai sehingga diliputi lumut dan semak samun yang mencacatkan pemandangan. Bukan itu sahaja, kenderaan yang dibiarkan tersadai tersebut bukan sahaja mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya malahan akan menjadi tempat pembiakan nyamuk serta binatang berbisa.

Kereta yang terbiar mengundang bahaya kerana menjadi tempat pembiakan nyamuk dan binatang berbisa

Menurut Seksyen 65 Ordinan Pengangkutan Jalan 1987 atau Akta 333, kenderaan yang menjadi penghalang kepada orang awam atau menyusahkan orang awam dan menyebabkan keadaan merbahaya boleh dialihkan oleh pihak berkuasa.

Masalah kenderaan terbengkalai di bandar raya di seluruh negara kini mendapat perhatian yang serius oleh kerajaan dan seterusnya mengambil pendekatan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan. Dengan pindaan Akta Pengangkutan Jalan yang baru, majlis perbandaran tempatan akan diberikan kuasa penuh untuk menunda dan melupuskan kenderaan terbiar.

Melalui pindaan akta tersebut, kerajaan akan memudahkan sistem pendaftaran supaya membolehkan pihak tempatan berkuasa untuk melupuskan kenderaan terbengkalai seterusnya memberikan kuasa kepada JPJ untuk membuat potongan pendaftaran kenderaan.

Namun tanggungjawab mengalihkan atau melupuskan kenderaan usang ini bukanlah tugas dari pihak berwajib sahaja kerana pemilik kenderaan seharusnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap harta benda mereka. Pemilik kenderaan seharusnya lebih bertolak ansur dan tidak menjadikan kawasan persekitaran sebagai tempat melupuskan kenderaan lama mereka. Seharusnya mereka bertanggungjawab melupuskan kenderaan yang tidak berguna lagi dengan menjual kenderaan tersebut sebagai besi buruk ataupun komponen alat terpakai.

Pihak kerajaan pula digalakkan untuk meneruskan Skim Insentif Kenderaan Baru yang pernah dilakukan sebelum ini dimana pemilik kenderaan nasional lama boleh mendapatkan potongan harga RM5,000 untuk membeli kereta nasional baru. Inisiatif ini boleh juga dilakukan oleh jenama kenderaan yang lain sebagai salah satu kaedah terbaik untuk menggantikan kenderaan lama. Tindakan ini mampu memberi ‘win-win situation’ kepada pembeli mahupun pengedar kenderaan dimana pembeli dapat membeli kenderaan baru dan pengeluar pula dapat menjual kenderaan mereka dan sekaligus dapat meningkatkan hasil jualan.

2020 Tahun Melawat Malaysia dan merupakan satu misi nasional yang mana pelaksanaannya akan memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam industri pelancongan.

Justeru itu, isu kereta usang yang menjejaskan pemandangan ibu kota ini seharusnya diberi penekanan oleh pihak kerajaan terutama sekali apabila tahun 2020 merupakan Tahun Melawat Malaysia. Sudah pastilah kerajaan ingin menyajikan pemandangan yang indah kepada pelancong-pelancong demi menjaga imej negara. Semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan impian negara untuk menjadi destinasi pelancongan utama di dunia dan rantau ini terus subur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here