PAS dan UMNO. Dua parti politik yang berlainan ideologi dan misi perjuangan. Itulah gambaran yang dapat diberikan kepada kedua-dua parti berkenaan sebelum hadirnya PRU14 pada 9 Mei tahun lalu. Namun, semua itu tidak lagi memberi makna apabila kedua-duanya menjalinkan kerjasama selepas kegagalan BN untuk memenangi PRU14 sekaligus menyaksikan pemerintahan Malaysia berjaya diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH).

Kerjasama yang dijalinkan oleh PAS dan UMNO semakin erat apabila berberapa pemimpin parti berkenaan sering dilihat tampil bersama di dalam berberapa sidang media dan semasa kempen Pilihanraya Kecil (PRK) termasuk berberapa demonstrasi jalanan iaitu salah satunya adalah Himpunan ICERD. Tambah menarik lagi, kerjasama yang dijalinkan oleh kedua-dua parti tersebut dikatakan bagi memperjuangkan nasib kaum Melayu dan umat Islam yang dikatakan ditindas oleh pemimpin-pemimpin kerajaan PH.

Jalinan kerjasama di antara PAS dan UMNO dikatakan untuk menggugat kestabilan hubungan pemimpin-pemimpin PH

Namun, kerjasama di antara kedua-dua parti politik tersebut sedikit pun tidak meninggalkan ‘kudis’ di hati pemimpin-pemimpin dalam kerajaan PH. Malah, menurut Menteri Wilayah Persekutuan, YB Khalid Abdul Samad berkata kerjasama antara PAS dan UMNO ini hanya akan memberikan kelebihan kepada PH. Tambah beliau, ini kerana keadaan politik semasa yang telah berubah dan rakyat negara ini sudah pun menolak ideologi kedua-dua parti politik berkenaan yang dikatakan tidak jelas dan menzalimi rakyat.

Sementara itu, bagi Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata kerjasama PAS dan UMNO akan memperkukuhkan lagi pengaruh PH di negara ini. Hal ini kerana kerajasama antara kedua parti politik tersebut akan membuatkan rakyat semakin keliru dengan pola politik baharu yang dicetuskan melalui kerjasama tersebut. Ini sekaligus akan memberi peluang kepada PH untuk mengukuhkan lagi pengaruh mereka dalam PRU ke 15 akan datang.

Secara dasarnya, kerjasama antara PAS dan UMNO adalah suatu perkara biasa dalam senario politik di Malaysia. Ini kerana dengan kerjasama ini sahajalah yang membolehkan mereka memperkukuhkan lagi pengaruh parti politik mereka dengan tujuan untuk meraih sokongan daripada penyokong parti politik lain. Walaupun sebelum ini mereka mempunyai pandangan berbeza dan menjadi lawan dalam gelanggang politik, tetapi demi untuk mencapai satu tujuan mereka rela mengenepikan ideologi mereka dan bekerjasama untuk mendapatkan kembali kuasa pemerintahan negara daripada PH.

Pakatan Harapan (PH) optimis dalam usaha membangunkan semula negara dan tidak tergugat dengan agenda kerjasama PAS – UMNO

Kerjasama di antara kedua-dua parti politik ini sememangnya tidak akan menggugat kestabilan pemerintahan kerajaan PH. Ini kerana kerjasama ini dilihat seakan ‘longgar’ dan tidak mempunyai arah tuju dan lebih tertumpu ke arah politik balas dendam PAS dan UMNO terhadap kerajaan PH. Justeru, kerajaan PH seharusnya tidak perlu merasa tergugat dengan kerjasama ini sementelah mereka sudah pun mencapai kejayaan demi kejayaan dalam usaha mereka membantu rakyat negara ini sepanjang sembilan bulan pemerintahan mereka.

Antara kejayaan yang dilakukan oleh PH sepanjang mereka memegang tampuk pemerintahan kerajaan adalah menstabilkan semula harga minyak dan mengurangkan bebanan rakyat terhadap perbelanjaaan bahan bakar tersebut. Selain itu, kejayaan lain yang telah dicapai oleh PH adalah dengan menyediakan skim peduli rakyat untuk keperluan rakyat di bawah projek perintis PeKa B40 khusus untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Di samping itu, kejayaan bermakna yang dicipta oleh kerajaan PH adalah dengan mengekalkan Bantuan Sara Hidup (BSH). Ini menunjukkan bahawa kerajaan PH pada hari ini amat mempedulikan kebajikan rakyat Malaysia yang selama ini mereka perjuangkan dengan pengagihan bantuan ini khusus kepada golongan B40 yang mempunyai tanggungan isi rumah yang berat.

Jalinan kerjasama di antara parti-parti politik di negara ini sememangnya perkara biasa dan ia seakan sudah menjadi lumrah bagi mengukuhkan pengaruh politik masing-masing agar dapat meraih sokongan dari rakyat. Perkara ini bukanlah baru dalam senario politik negara malah ia sudah diamalkan semenjak kemerdekaan negara ini lagi. Oleh itu, kerajaan PH seharusnya tidak merasa tergugat dengan kerjasama ini namun harus berhati-hati. Ini kerana dengan sedikit kelekaan dan kelalaian daripada para pemimpin, kerjasama ini mungkin menjadi satu ancaman kepada mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here