Pembentangan Kertas Putih FELDA yang disediakan secara teliti oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) mengenai rancangan pemulihan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berjaya membuka mata rakyat mengenai kepincangan yang membabitkan masalah kewangan yang berlaku dalam agensi gergasi perladangan itu.

Kertas Putih yang dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu mendedahkan kecelaruan pengurusan dan hutang FELDA yang melebihi RM8 bilion.

Baki tunai agensi itu telah merosot daripada purata RM2.5 bilion dalam tempoh 2007 hingga 2011 kepada hanya RM400 juta pada tahun 2017. Kedudukan baki tunai terus menjunam sehingga RM35 juta sahaja pada 9 Mei 2018.

Jika dahulu FELDA antara agensi yang gah, dengan aliran tunai keluar masuk yang stabil. Kini kedudukan kewangan FELDA berada pada tahap kritikal. Akibat dari kekangan aliran tunai, FELDA tidak mampu menampung perbelanjaan operasi, kos penanaman semula dan bantuan serta pinjaman untuk peneroka.

Infografik Kertas Putih mengenai kepincangan yang berlaku dalam FELDA

Melalui pembentangan kertas putih FELDA, satu model perniagaan baharu pengurusan ladang FELDA dan jaminan bantuan kebajikan kepada warga peneroka tanah rancangan itu bakal dicadangkan.

Masalah utama yang membelenggu peneroka pada masa kini adalah kelewatan dalam pembayaran hasil. Isu pendapatan antara masalah yang paling dekat di kalangan peneroka. Melalui laporan kertas putih FELDA, golongan ini sangat memerlukan bantuan sara hidup RM1,500.

Sebelum ini, peneroka FELDA menerima elaun sara hidup dalam bentuk pinjaman dengan jumlah RM1,500 bagi 10 ekar tanah untuk program tanam semula atau RM150 bagi setiap ekar. Pembayaran elaun ini telah dimulakan sejak 2016, namun pada Mac lalu, Ketua Peneroka FELDA, Sulong Jamil mengumumkan bahawa bayaran elaun itu telah dikurangkan kepada RM1,000.

Dalam perbincangan itu, bukan sahaja masalah kekangan kewangan FELDA akan diperhalusi, bahkan langkah yang akan diambil untuk menjamin masa hadapan peneroka. Walaupun kebanyakan daripada netizen memuji tindakan Datuk Seri Azmin Ali yang berusaha untuk membentangkan laporan kertas putih FELDA dan membela golongan peneroka, namun masih ada segelintir daripada mereka yang mempersoalkan janji kerajaan PH untuk memulihkan semula harga pasaran kelapa sawit dan getah.

Infografik Kertas Putih mengenai perancangan bantuan kewangan kepada peneroka FELDA

Tindakan pantas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu untuk menyelamatkan FELDA dengan membentuk satu pasukan khas di bawah kementerian beliau bersama pengurusan FELDA dan firma professional wajar diberi peluang.

Peneroka FELDA sangat mengharapkan agar nasib mereka kembali terbela. Mereka mahukan harga pasaran sawit dan getah kembali stabil. Pemberian elaun sara hidup yang dapat meringankan tekanan hidup golongan peneroka juga perlu dikemaskini. Maka, jika laporan kertas putih ada menyatakan bahawa peneroka perlu menerima elaun sara hidup berjumlah RM1,500 bermakna kerajaan perlu mencari jalan untuk melaksanakannya.

Sudah pasti peneroka-peneroka FELDA juga teruja dan sangat mengharapkan agar kerajaan membawa sinar baharu kepada kehidupan mereka. Ini kerana dengan kerajaan sahaja dapat mereka harapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here