Sejak kebelakangan ini, kes bayi baru lahir dibuang semakin menjadi-jadi sehinggakan masyarakat turut melahirkan perasaan marah terhadap perbuatan mereka yang tidak berperikemanusiaan itu. Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 577 kes pembuangan bayi direkodkan dalam tempoh empat tahun sehingga 2018. Manakala dari Januari hingga Mei 2019 sebanyak 65 kes pembuangan bayi direkodkan dengan Johor mencatat kes tertinggi iaitu 13 diikuti Selangor 11 kes dan Kuala Lumpur 7 kes. Malah kawasan perumahan yang merekodkan 226 kes pembuangan bayi menjadi kawasan tertinggi bagi kes pembuangan bayi untuk tempoh 2010 hingga 2018 diikuti tandas dan tempat pembuangan sampah dengan masing-masing 108 dan 89 kes.

Bayi dibuang di tong sampah

Realitinya statistik ini menunjukkan lebih daripada 100 orang bayi dibuang setiap tahun di Malaysia. Kebanyakan bayi itu dibuang di dalam timbunan sampah dengan 60 peratus daripadanya mungkin sudah tidak bernyawa lagi apabila dijumpai kerana disumbat ke dalam lubang tandas, dibuang ke longkang atau terbakar sehingga tidak dapat dikenali. Malah remaja perempuan yang membuang bayi mereka boleh jadi gadis belasan tahun yang baru selesai mengambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) atau pun pelajar universiti. Ini menunjukkan kerapuhan pegangan agama dan ketandusan nilai agama sehingga mereka sanggup membuang bayi yang tidak berdosa.

Terdapat beberapa punca utama yang menyebabkan masalah ini berlaku antaranya kurang didikan dan kefahaman agama sehingga mengakibatkan mereka hilang haluan dalam kehidupan serta seterusnya terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas, hubungan luar tabii dan sebagainya. Hal ini telah menyebabkan remaja perempuan mengandung sebelum ada ikatan yang sah. Dalam situasi tersebut, mereka yang hilang pegangan agama tidak teragak-agak untuk membuang dan meninggalkan anak mereka selepas dilahirkan. Lebih teruk lagi, terdapat segelintir individu yang membunuh dan membakar bayi yang mereka lahirkan semata-mata mahu menghilangkan bukti hasil hubungan sulit mereka.

Malah sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum turut menyebabkan masalah pembuangan bayi ini berlaku. Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak luar nikah, sudah pastinya masyarakat menghina dan memandang serong kepada mereka. Hal ini akan mengakibatkan mereka berasa tertekan dengan bebanan yang ditanggung seorang diri tanpa sokongan daripada masyarakat. Demi menjaga imej diri sendiri dan keluarga, mereka akan mengambil jalan mudah dengan membuang bayi berikutan berasa bimbang dipandang jijik serta hina oleh masyarakat.

Justeru, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan Malaysia Against Pornography dan pihak Google bagi melancarkan video pendidikan seks untuk kanak-kanak melalui medium digital Youtube sebagai usaha bagi menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Kerajaan melancarkan video pendidikan seks

Kerajaan juga turut melakukan program advokasi dan kesedaran awal khususnya kepada golongan remaja perempuan dan lelaki terutamanya di sekolah, pusat komuniti serta institusi lain yang bersesuaian. Program ini bertujuan bagi meningkatkan tahap kesedaran di kalangan masyarakat terutamanya para pelajar untuk bersama-sama menangani masalah ini.

Oleh itu semua pihak khususnya kerajaan sewajarnya bersama-sama menangani isu ini. Manakala bagi remaja perempuan yang hamil luar nikah mestilah dibantu bagi menjalani pemulihan yang bukan sahaja menyediakan bantuan menjaga ketika mereka hamil tetapi yang paling penting ialah membina kekuatan dalaman serta rohaniah mereka. Sekiranya penjagaan rapi dibuat, gejala pembuangan bayi mungkin dapat dikurangkan walaupun tidak sepenuhnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here