Pembuangan bayi yang sering berlaku di Malaysia sudah menjadi isu di dada akhbar mahupun di kaca-kaca televisyen. Kes-kes pembuangan bayi ini kebanyakannya dilakukan oleh remaja yang masih di bangku sekolah lagi mahupun dalam lingkungan umur 20-an. Jika kita melihat di muka depan akhbar, isu pembuangan bayi ini semakin serius sehingga ke hari ini dan para ibu yang membuang bayi tersebut seperti tidak mempunyai sifat belas kasihan terhadap bayi yang dibuang. Sedangkan haiwan mengasihi anak-anak mereka, apatah lagi kita sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran yang waras. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan Selangor mencatat jumlah kes pembuangan bayi tertinggi iaitu 157 kes antara 2010 hingga 2016.

Mayat bayi lelaki dijumpai dalam pam tandas

Terdapat beberapa punca berlakunya pembuangan bayi antaranya adalah keruntuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita. Ibu bapa memberi didikan agama yang sempurna kepada anak mereka tetapi apabila meningkat dewasa anak-anak membawa haluan mereka sendiri, segala ajaran ibu bapa akan dilupakan sedikit demi sedikit. Maka anak-anak mula bertindak liar tanpa pengawasan ibu bapa. Ibu bapa yang merupakan ketua keluarga telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak menjadi insan yang bersahsiah dan berkeperibadian mulia. Terdapat ibu bapa yang terlalu sibuk dengan tugas-tugas seharian sehingga anak-anak terabai. Anak-anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka lebih cenderung untuk mencari keseronokan di luar rumah. Akibatnya, mereka terjebak ke kancah permasalahan sosial seperti melakukan seks bebas sehingga mengandungkan anak luar nikah.

Kes pembuangan bayi akan memberikan kesan kepada bayi tersebut. Sebagai contoh, bayi yang dilahirkan oleh remaja yang terlibat sama ada cukup bulan atau tidak, akan terbiar dan terpaksa dibuang bagi menutup aib sehingga mendesak mereka membunuh bayi atau meninggalkan bayi tersepit di tempat sunyi. Selain itu, kesan pembuangan bayi terhadap ibu bayi pula ialah mereka akan mengalami jangkitan kuman kerana semasa mereka melahirkan anak, mereka tidak berada dalam keadaan dan situasi yang selesa dan mengizinkan. Mereka juga mengalami kecederaan semasa melahirkan anak dan juga kehilangan darah yang banyak kerana mereka tidak mendapatkan bantuan pihak hospital semasa melahirkan anak. Pada masa yang sama, mereka mengalami pelbagai masalah dalam diri seperti kemurungan, hilang keyakinan diri dan juga mengalami masalah emosi. Perbuatan mereka sememangnya salah dari segi undang-undang, agama dan negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa pembuangan bayi memberikan kesan yang sangat besar kepada negara. Jatuh dan bangun sesebuah negara itu bergantung sepenuhnya kepada akhlak remaja atau generasi pada masa ini. Antara kesan yang pastinya berlaku ialah pertumbuhan pembangunan terbantut serta ekonomi negara sukar berkembang disebabkan wujudnya gejala sosial ini. Tambahan pula, perbelanjaan kerajaan turut meningkat untuk menampung bayi yang diletakkan di rumah kebajikan masyarakat.

Pihak berkuasa seharusnya membawa pihak bertanggungjawab membunuh bayi dihadapkan ke mahkamah, sekali gus diberikan hukuman setimpal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan

Antara langkah yang harus diambil untuk mengatasi gejala pembuangan bayi ialah melalui peranan pihak berkuasa, media massa, ibu bapa, badan-badan NGO dan masyarakat. Dalam mengejar arus pemodenan, kemelut pembuangan bayi tidak harus dipandang sepi. Pihak media massa hendaklah menyekat program-program hiburan yang boleh merosakkan akhlak remaja seperti filem-filem yang mengandungi adegan-adegan lucah yang boleh menyebabkan kadar gejala sosial meningkat seterusnya meningkatkan lagi kadar pembuangan bayi.

Selain itu, langkah pencegahan daripada pihak berkuasa pula adalah dengan menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan hukuman maksimum ke atas pasangan berzina seperti mengenakan hukuman sebat. Hukuman yang setimpal harus dilaksanakan supaya dapat memberi pengajaran kepada remaja yang terlibat dan juga kepada remaja-remaja yang lain.

Badan-badan NGO juga boleh dijadikan tempat rujukan bagi mereka yang mengandung anak luar nikah di samping untuk membimbing dan perlindungan, contohnya seperti Asrama Puteri KEWAJA. Hal ini kerana mereka masih perlu dibela dan memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan. Badan-badan NGO juga hendaklah menyediakan dan menubuhkan pusat jagaan bayi bagi membela nasib mereka yang tidak bersalah, contohnya seperti Pusat Perlindungan PERNIM. Ianya juga dapat memberi peluang kepada ibu bapa mengambil balik hak mereka dan bertanggungjawab ke atas mereka.

Dengan ini dapat disimpulkan bahawa semua pihak terlibat dalam menangani masalah pembuangan bayi ini. Semua pihak harus melihat gejala pembuangan bayi secara rasional dan tidak seharusnya memandang sepi tentang masalah ini. Oleh itu, bersama-samalah kita berganding bahu, bekerjasama bagi mengatasi gejala pembungan bayi sebelum ianya menjadi lebih serius.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here