Sejak kebelakangan ini, indeks kes buli di sekolah semakin membimbangkan di negara ini. Jika diimbas kembali, pada Januari sehingga Jun 2018 sebanyak 1,054 kes buli telah dilaporkan. Untuk makluman, isu buli merupakan satu kegiatan jenayah yang melanggar undang-undang dan perkara ini semakin menjadi barah di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Zaman sudah banyak berubah, di mana buli bukan lagi boleh dikaitkan sebagai perbuatan kanak-kanak tetapi harus dilihat dari aspek jenayah.

Segelintir ibu bapa bersikap lepas tangan dalam soal ini dan masalah ini bukan terletak di tangan pentadbiran sekolah sahaja. Malah, banyak kes memperlihatkan ibu bapa mengambil sikap tidak peduli. Walaupun ibu bapa menyerahkan kes buli ini kepada pihak pengurusan disiplin sekolah, tetapi apabila tindakan diambil terhadap anak-anak, mereka mula melenting terhadap tindakan pihak sekolah. Elok juga jika kita kembali menghayati falsafah di sebalik perumpamaan ‘melentur buluh biar dari rebungnya’, di mana perlakuan jenayah buli ini sepatutnya ditangani dari peringkat awal ia dikesan dalam diri para pelakunya.

Allahyarham Zulfarhan dan mendiang Nhaveen menjadi mangsa buli sehingga menyebabkan kematian

Mungkin akan ada pihak yang berhujah, apa yang disebutkan pasal buli ini sebagai satu jenayah, sedangkan ia melibatkan murid dan pelajar sekolah sahaja? Mungkin mereka mempersoalkan sama ada bilangan yang maut akibat dibuli itu ramai atau sebaliknya kerana yang meninggal dunia disebabkan perbuatan buli baru-baru ini cuma dua orang sahaja iaitu mendiang Zulfarhan dan Nhaveen. Tetapi kita harus mengambil iktibar dan pengajaran terhadap kematian tersebut bahawa betapa serius kesan akibat daripada jenayah buli ini.

Di samping itu, gejala ini juga boleh mendatangkan pelbagai kesan kepada pembuli dan juga mangsa buli. Di antaranya ialah, mangsa buli boleh merasa tertekan, kerugian dan takut di mana boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan emosi mereka bagi meneruskan kehidupan harian mereka. Malah, akibat daripada ini juga, mangsa akan mula tidak hadir ke sekolah, tidak suka sekolah dan akhirnya boleh menyebabkan prestasi di sekolah yang amat teruk. Kajian juga menunjukkan bahawa sesiapa yang terlibat dengan buli sama ada mereka yang membuli orang lain atau mereka yang dibuli mempunyai risiko tinggi untuk menghidap kemurungan dan juga gangguan fizikal, mental dan emosi.

Buli memberi kesan fizikal yang melibatkan kecederaan kepada anggota tubuh badan mangsa buli sehingga boleh meragut nyawa mangsa

Oleh yang demikian, diharap pihak Kementerian Pendidikan dapat mengutamakan usaha menyemai sikap saling menghormati dan menghargai dalam kalangan pelajar sebagai pendekatan holistik mengekang gejala buli serta keganasan. Ini termasuk memperkukuhkan subjek Pendidikan Moral dengan memberi penekanan terhadap kepentingan mempelajari dan mengamalkan 36 nilai murni dalam kehidupan seharian dan bukan sekadar menghafal semata-mata untuk lulus subjek berkenaan. Malah, program kesihatan mental juga perlu diperkenalkan dan kaunselor-kaunselor yang berpengalaman dan berkemahiran psikologi perlu ditempatkan di sekolah. Di samping itu, pihak kerajaan perlu mewujudkan pasukan khas bagi membincangkan punca, cadangan dan strategi untuk menangani keganasan yang semakin meningkat di kalangan remaja sekolah.

Justeru, walaupun terdapat kekangan dalam undang-undang sedia ada namun kerajaan boleh memperkenalkan elemen-elemen yang berupaya menangani jenayah buli melalui pindaan Akta Kanak-Kanak 2001. Tidak mustahil gejala buli ini boleh merebak seperti virus sehingga menyebabkan indeks kecederaan atau kehilangan nyawa disebabkan isu buli ini meningkat lagi. Mereka seharusnya didakwa mengikut undang-undang dan hukuman yang setimpal. Di samping itu, bagi isu buli yang menyebabkan kematian, hukuman mati tidak boleh diperluaskan kepada individu bawah umur, oleh itu mereka seharusnya menjalani hukuman yang setimpal dengannya seperti penjara seumur hidup dan bergantung kepada pertimbangan hakim juga.

Akhirnya, dalam masyarakat kita, wujud mentaliti yang menganggap gejala buli dalam kalangan murid serta pelajar sekolah hanya sifat ‘main-main’ sahaja dan ia akan terhenti setelah tamat zaman persekolahan. Pandangan saya dalam perkara ini adalah berbeza dan janganlah kita bersikap ambil mudah dalam menangani isu berkaitan anak-anak khususnya mereka yang di peringkat usia remaja. Zaman telah berubah, justeru pendekatan kita dalam menangani jenayah buli juga mesti berubah mengikut peredaran masa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here