Bila berbicara soal diskriminasi, terdapat banyak pandangan mengenai perkara tersebut dan ini termasuklah diskriminasi dalam pekerjaan. Apa itu diskriminasi dalam pekerjaan? Ia boleh ditakrifkan sebagai layanan yang tidak adil terhadap seorang individu oleh majikan atau syarikat dari segi agama, bangsa, kesihatan dan jantina di tempat kerja mahupun di sektor pekerjaan.

Diskriminasi pekerjaan tidak hanya berlaku di sesebuah negara, malah ia berlaku hampir di seluruh dunia. Boleh dikatakan hampir 70 hingga 80 peratus negara-negara dunia mengamalkan diskriminasi dalam pekerjaan dan ini termasuklah di Malaysia. Agak cliché bukan? Tapi itulah realiti yang terpaksa dilalui sebahagian besar rakyat negara ini terutamanya golongan belia dan graduan, maka tidak hairanlah sekiranya kadar pengangguran meningkat kepada 3.3 peratus pada Januari 2018 dan tidak mustahil angka itu meningkat hari demi hari sekiranya diskriminasi ini tetap diamalkan.

Faktor kaum dan jantina merupakan punca utama diskriminasi di tempat kerja

Antara diskriminasi pekerjaan yang paling ketara berlaku adalah terhadap perbezaan kaum selain daripada agama dan jantina. Ini terbukti apabila satu kajian telah dilakukan oleh Dr. Hwok Aun Lee dari Universiti Malaya (UM) dan Dr. Muhammad Abdul Khalid dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mereka melakukan kajian dengan menghantar 3,022 resume palsu kepada 753 iklan dalam talian bagi jawatan jurutera dan kewangan. Separuh daripada resume itu didaftarkan sebagai pemohon Melayu dan baki separuh lagi didaftar sebagai pemohon Cina. Malah, kelayakan pada resume itu dipadankan untuk pemohon kaum Melayu dan Cina supaya tidak timbul isu mengenai perbezaan kualiti graduan dalam kajian itu. Hasilnya, sebanyak 22.1 peratus pemohon Cina dipanggil untuk temuduga kerja berbanding dengan pemohon Melayu yang hanya sekadar 4.2 peratus sahaja.

Selain itu, laporan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2016 juga menunjukkan bilangan graduan wanita adalah lebih tinggi berbanding graduan lelaki iaitu sebanyak 62 peratus berbanding jumlah keseluruhan sebanyak 540,638 orang. Namun, apa yang berlaku adalah kadar penyertaan tenaga kerja wanita amatlah rendah selain gaji yang ditawarkan juga jauh lebih rendah berbanding kaum lelaki dan majikan tidak menyediakan persekitaran yang kondusif untuk mereka bekerja dengan selesa.

Sekiranya diskriminasi kerja ini terus diamalkan dalam kehidupan seharian, maka ia akan memberikan kesan yang mendalam terhadap negara dan rakyat. Di antara kesan yang bakal timbul adalah sudah semestinya dari segi pembangunan ekonomi negara. Hal ini kerana jika negara terlalu bergantung terhadap sesuatu kaum atau sesebuah jantina dalam menjana ekonominya, nescaya ia tidak akan dapat dicapai kerana tiada keseimbangan dalam penjanaan produktiviti. Ini disebabkan sesuatu kepakaran itu tidak hanya bergantung mahupun dapat diukur berdasarkan sesuatu kaum atau jantina.

Selain itu, kesan lain yang bakal berlaku adalah terhadap keterbatasan individu untuk mempelajari perkara yang baru selain meningkatkan daya saing dalam diri. Hal ini terjadi akibat daripada kesan diskriminasi yang diamalkan oleh majikan atau syarikat tempat mereka bekerja. Dalam hal ini, kerajaan perlulah memainkan peranan yang penting bagi memastikan perkara ini tidak terjadi.

Sudah tiba masanya kerajaan merangka satu akta khusus bagi mengelakkan terjadinya diskriminasi di setiap tempat kerja

Kini, sudah sampai masanya kerajaan memperkasakan akta anti diskriminasi khusus di negara ini bagi melindungi kebajikan para pekerja daripada sebarang bentuk diskriminasi yang boleh berlaku terhadap diri mereka di tempat kerja.  Walaupun Malaysia sudah memiliki pelbagai jenis peruntukan undang-undang berkaitan dengan pekerjaan seperti Akta Kerja 1955 [Akta 265] dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177] namun ia dilihat tidak memadai bagi memberi perlindungan yang secukupnya terhadap isu yang berkaitan dengan masalah diskriminasi dalam negara ini. Dengan adanya akta baharu ini, ia akan lebih menjamin keselamatan para pekerja dan mewujudkan persekitaran peluang pekerjaan yang lebih seimbang.

Justeru, penglibatan semua pihak sama ada pekerja, majikan dan syarikat perlu ada bagi mengelakkan perkara ini terjadi. Para pekerja seharusnya mengambil tahu akan hak mereka dan sekiranya perkara ini terjadi, mereka perlu membuat laporan pada saluran yang betul. Ini bagi menjamin keamanan yang kondusif di persekitaran tempat kerja tanpa perlu ada diskriminasi terhadap semua perkara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here